Sunday 15 January 2017

Bomoh terlibat jenayah sihir

Jenayah sihir berlaku dengan menggunakan khidmat bomoh. Tujuan sihir paling banyak berkaitan hubungan suami isteri dan dendam. Ia cara halus menjatuhkan seseorang dengan mudah dan berkesan tanpa disyaki. Sihir juga diguna untuk memukau menipu mendapatkan wang atau rompak dengan kebenaran mangsa tanpa sedar.

Statistik kes penipuan oleh bomoh pada 2012 yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kerugian yang dialami mangsa meningkat 63.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu melibatkan amaun RM12,494,665.27.

Berleluasanya kes-kes sebegini memerlukan satu pendekatan yang holistik untuk membanterasnya kerana selain menipu, ada juga pengamal yang menawarkan khidmat sihir atas nama perawat tradisional dan komplementari.

Sudah tiba masanya sebuah akta bagi menyekat kebebasan jenayah membabitkan sihir perlu diwujudkan melalui penubuhan undang-undang sihir.

Kajian secara dasar mengenai isu-isu penguatkuasaan, pendakwaan, pembuktian dan kepakaran daripada akar umbi untuk menubuhkan undang-undang tersebut telah diadakan dan rata-rata pihak terlibat menyatakan kesediaan dalam mewujudkan akta tersebut.

Sesi perbincangan secara berkala dengan pihak berkuasa seperti bersama Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Gabungan Persatuan Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) dan Jabatan agama Islam Negeri telah pun diselaraskan.

Ini bertujuan pengemaskinian prosedur, tatacara dan aspek teknikal dalam pelaksanaan undang-undang tersebut. Dan kesemua badan berkenaan menunjukkan persetujuan dan memberi jawapan positif.

Melalui geran Program Pemindahan Ilmu yang diluluskan, isu-isu tersebut akan dapat diperhalusi dan diselesaikan oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut.

Manakala, daripada segi penguatkuasaan dan pendakwaan diakui masih kurang berkemahiran. namun dengan adanya kerjasama daripada semua pihak yang terlibat, latihan dan pendedahan boleh diberikan selain mewujudkan Prosedur Kendalian Standard (SOP) khas, ini boleh diatasi.

Daripada segi kepakaran pula, saya tidak berasa ia suatu yang sukar untuk diwujudkan kerana ramai pakar-pakar perubatan PTK yang sedia untuk membantu. Cuma yang menjadi isunya ialah pengiktirafan oleh pihak berkuasa.

Alhamdulillah dengan adanya Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplemetari (BPTK) Kementerian Kesihatan Malaysia, berupaya menjadi salah satu badan rujukan dalam perlaksanaannya.

Namun, saya tetap menaruh harapan agar isu ini diberi perhatian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana terdapat kes-kes jenayah yang melibatkan sihir seperti menipu, mencuri, menceroboh, merompak, merogol menggunakan ilmu sihir berbentuk pukau.

Jika penggunaan sihir pukau tidak dibanteras, maka jenayah-jenayah tersebut akan dapat dilakukan dengan lebih mudah tanpa sebarang tentangan daripada mangsa.

Pada peringkat awal akta tersebut boleh dilaksanakan melalui kes jenayah membabitkan sihir di dalam pernikahan dan perceraian.

No comments:

Post a Comment