Sunday 15 January 2017

Miskin tidak halang kejayaan

Pelajar dari keluarga miskin juga berhak berjaya. Banyak individu berjaya di negara kita berasal keluarga miskin seperti nelayan, petani dan buruh. Mereka membuktikan kemiskinan bukan penghalang mencipta kejayaan. 

Kerajaan memberi penekanan menyediakan pendidikan terbaik kepada setiap pelajar tanpa mengira taraf kehidupan keluarga. Pelbagai peruntukan disediakan bagi menjamin proses pembelajaran dinikmati sepenuhnya.

Dengan kata lain, kemiskinan keluarga tidak sepatutnya dijadikan sebagai alasan seseorang pelajar tidak meneruskan persekolahan atau gagal dalam dalam pelajaran. Berjaya atau gagal seseorang pelajar bergantung kepada usaha yang dilakukan, bukannya berdasarkan kekayaan keluarga.  

Untuk berjaya dalam pelajaran, setiap pelajar mesti mengutamakan hal berkaitan belajar berbanding perkara lain dalam aktiviti kehidupan seharian. Jangan fikir tentang ingin berseronok atau melakukan perbuatan yang merugikan seperti lepak, berhibur, ponteng sekolah dan merokok.

Tugas belajar adalah tugas hakiki yang perlu dilaksanakan oleh setiap pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan yang diduduki. Minat dalam hal-hal lain boleh dilakukan lepas alam persekolahan nanti.

Peluang menuntut ilmu tidak sepatutnya dipersia-siakan yang hanya diperoleh ketika berada di alam persekolahan yang mana kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan adalah bukti kerajaan ingin melahirkan generasi yang berilmu, bermoral dan mempunyai jati diri.

Peluang pendidikan seperti yang disediakan kerajaan kita ada antara yang terbaik di dunia. Ia disediakan percuma dan dalam suasana kemudahan yang mencukupi untuk pelajar selesa menuntut ilmu.

Di negara lain, banyak kanak-kanak yang tidak mendapat peluang pendidikan yang sempurna disebabkan kemiskinan memaksa mereka sekadar belajar mengenal huruf, malah ada yang tidak berpeluang mendapat pendidikan formal langsung.

Kerajaan memberi peluang pendidikan kepada semua golongan, termasuk pelajar miskin. Selain pendidikan percuma yang disediakan, kerajaan mengeluarkan peruntukan biasiswa.

Jadi, kemiskinan bukan alasan menyekat peluang belajar. Pelajar dari keluarga miskin juga mampu berjaya. Kejayaan dalam pelajaran itu nanti akan membuka peluang mendapat pekerjaan yang baik. Keadaan ini sekaligus akan mengubah nasib keluarga yang mana kemiskinan bukan satu warisan.

Bantuan yang diterima dari kerajaan maupun pihak-pihak lain mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan tahap pencapaian masing-masing. Wang bantuan yang diterima hendaklah digunakan untuk membeli buku rujukan dan peralatan persekolahan. 

Terdapat pelajar dan ibu bapa yang menerima bantuan untuk pendidikan digunakan untuk tujuan lain. Akibatnya, matlamat kerajaan memperuntukkan bantuan itu tidak mencapai matlamat untuk tujuan meningkatkan prestasi pelajaran anak.

Ibu bapa tidak sepatutnya lepas tangan untuk menyediakan kemudahan pembelajaran kepada anak biarpun kerajaan banyak mengeluarkan peruntukan bantuan. Pendidikan anak perlu diutamakan sepanjang masa. 

Sikap perihatin ibu bapa akan memberi ransangan kepada anak untuk belajar lebih rajin dan mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang. Kejayaan anak banyak bergantung kepada sokongan dan perhatian yang diberikan oleh ibu bapa.

No comments:

Post a Comment