Monday 26 June 2017

Sembahyang raya di tanah lapang

Menjadi sunnah Rasulullah SAW menunaikan solat hari raya di tanah lapang jika dapat berbuat demikian tanpa sebarang kesukaran atau tegahan seperti hujan, cuaca terlalu sejuk dan sebagainya.

Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Sa’id al-Khudri: “Adalah Nabi SAW keluar pada hari raya fitrah dan hari raya korban menuju ke mushalla (tempat menunaikan solat)….” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). 

Mushalla (tempat solat) tersebut menurut ulamak adalah satu kawasan lapang yang terletak di hujung Madinah berhampiran al-Baqi’. (Lihat; al-Fiqhul-Wadhih, jil. 1. hlm. 267). Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad menyatakan; “Nabi SAW. tidak pernah menunaikan solat hari raya di masjidnya kecuali sekali sahaja iaitu ketika hujan turun…”. (Zadul-Ma’ad, 1/441).

Menurut jumhur ulamak; menunaikan solat sunat hari raya di kawasan lapang lebih afdhal dari menunaikannya di masjid kerana mengikut sunnah Nabi tersebut.

Namun menurut mazhab Syafie; Menunaikan solat hari raya di Masjid adalah lebih afdhal kecuali jika masjid sempit, maka ketika itu barulah afdhal ditunaikan solat di kawasan lapang. Nabi SAW menunaikan solat hari raya di kawasan lapang kerana masjid baginda sempit, tidak mampu menampung semua jamaah.

No comments:

Post a Comment