Monday 26 June 2017

Masalah sosial berpunca tidak ikut syariah

Syariah adalah panduan hidup yang ditetapkan oleh Allah. Atas sifat-Nya Maha Mengetahui keperluan manusia dalam melaksanakan tugas di dunia ini, syariah yang sediakan adalah memenuhi keperluan untuk memandu manusia menjalani kehidupan dengan sempurna.

Sebarang permasalahan sosial yang timbul adalah berpunca daripada tidak melaksanakan tuntutan syariah. Dengan kata lain, masalah sosial akan dapat diselesaikan jika mengikut apa yang ditetapkan syariah.

Sifat kelemahan dan keterbatasan manusia. Allah menjelaskan bahawa manusia dicipta dalam keadan sebaik-baik kejadian. Firman Alah dalam surah at-Tin, ayat 4 bermaksud: "Sesungguhnya Kami ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian."

Pun begitu harus disedari, terdapat banyak kelemahah dan keterbatasan yang wujud pada diri manunsia. Justeru itu, manusia perlukan syariah untuk menampung atau memperbaiki kelemahan dan keterbatasan itu.

Islam tidak hanya meletakkan keimanan dalam konteks hubungan dengan Allah semata-mata. Sebenarnya, hubungan sesama manusia lebih banyak diberi penekanan. 

Hubungan manusia dengan hanya Allah hanya tertumpu kepada perlaksanaan ibadat khusus seperti sembahyang, berpuasa, haji dan lain-lain. Sedangkan, hubungan manusia sesama manusia meliputi segenap kehidupan. Aspek pergaulan dalam keluarga, persaudaraan, peniagaan, kenegaraan dan sebagainya banyak dijelaskan oleh syariat. 

Biarpun manusia dikurniakan akal, ia tidak mampu menterjemah sepenuhnya keperluan hidup manusia. Sebab itu manusia memerlukan panduan dalam bentuk syariat. Setiap apa yang disuruh oleh syariat adalah bertujuan memberi kebaikan, sedangkan larangan adalah untuk mengelak berlaku perkara buruk atau merugikan. 

Setiap apa yang dilakukan manusia akan diberi pembalasan setimpal di akhirat kelak sama ada baik atau buruk. Pembalasan syurga atau neraka adalah satu motivasi untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan keburukan. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mampu menundukkan nafsunya, maka syurgalah tempatnya. Sebaliknya, sesiapa yang menuruti hawa nafsunya, maka nerakalah tempat kembalinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pengaruh hawa nafsu kepada manusia. Keistimewaan manusia berbanding ciptaan lain ialah dikurniakan akal dan nafsu. Akal membolehkan manusia memilih atau menentukan apa yang baik dan buruk. Sedangkan nafsu adalah satu perasaan yang mendorong untuk melakukan sesuatu. 

No comments:

Post a Comment