Sunday 18 June 2017

Malas bersukan punca masalah kesihatan

Bersukan, beriadah, bersenam atau melakukan aktiviti kecergasan satu keperluan bagi setiap orang tanpa mengira umur. Namun, rakyat Malaysia didapati malas bersenam atau beriadah biarpun banyak kempen kesedaran dilakukan mengajak rakyat mengamalkan cara hidup sihat.

Menurut kajian, hanya kira-kira 25 peratus rakyat Malaysia terbabit dalam aktiviti senaman dan riadah secara berkala. Akibat sikap tidak suka bersenam itu memberi kesan buruk dan masalah kepada kesihatan. 

Rakyat Malaysia yang tidak melakukan aktiviti riadah dan kercergasan fizikal terdedah pelbagai penyakit yang membunuh secara senyap seperti kencing manis, kegemukan dan darah tinggi.

Kadar penyakit yang membabitkan jantung juga meningkat akibat kurang bersenam. Menurut laporan terbaru, 6.2 juta penduduk dewasa kita mempunyai kolesterol tinggi, 5.8 juta menghidap darah tinggi dan 2.6 juta menghidap diabetes.

Kaum Melayu dan India amat kurang beriadah berbanding kaum Cina di negara ini. Pergilah ke mana-mana pusat riadah terbuka, peratus kaum Cina yang aktif lebih tinggi berbanding kaum lain.

Itulah sebabnya jangka hayat wanita Cina ialah yang tertinggi di Malaysia - 79.8 tahun, melebihi kadar jangka hayat purata bagi rakyat Malaysia, 77 tahun. 

Kadar jangka hayat wanita India ialah 76.2 dan wanita Melayu 75.3. Lelaki kaum Cina hidup lebih lama dengan purata jangka hayat 74.4 tahun diikuti oleh lelaki Melayu (70.5) dan India (68).
Indeks Belia Malaysia mendapati sebahagian besar daripada hampir 11.5 juta belia di negara ini tidak berminat bersukan dan bersenam.

Kajian tersebut patut diberi perhatian. Bersukan, bersenam atau beriadah adalah satu keperluan kepada setiap individu. Aktiviti sukan melahirkan masyarakat lebih sihat, harmoni dan berinteraksi antara satu sama lain. Selain itu, ia penting dijadikan sebagai aktiviti masa senggang yang berfaedah. 

Aktiviti bersukan bukan sekadar untuk menyertai pertandingan. Disebabkan beranggapan bersukan hanya untuk menyertai pertandingan, banyak individu merasakan jika dia tidak hebat atau mahir dalam sesuatu sukan, dia tidak perlu bermain sukan berkenaan.   

Tidak dinafikan aktiviti bersukan dipertingkatkan dan disasarkan untuk menyertai pertandingan. Adalah menjadi matlamat negara untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan yang menang pingat atau anugerah peringkat antarabangsa. 

Kerajaan memberi peruntukan yang besar untuk melahirkan jaguh sukan yang menyumbang pingat kepada negara dalam temasya besar peringkat dunia seperti Sukan Olimpik, Sukan Komenwel dan Sukan Asia. 

Perlu dicatatkan, Malaysia belum pernah memenangi pingat emas dalam mana-mana acara di Sukan Olimpik. Ini agak mengecewakan, sedangkan negara jiran kita dalam rantau Asia Tenggara ada yang sudah beberapa kali menang pingat emas di temasyar terbesar di dunia itu.

Bersukan tidak terhad kepada tujuan untuk menyertai pertandingan sahaja. Sebaliknya, bersukan sepatutnya dijadikan aktiviti berkala bertujuan menjaga kesihatan. 

Bersukan atau bersenam penting untuk membantu mengaktifkan otot-otot badan untuk meningkatkan kelancaran pengaliran darah dan ketahanan badan.  

Kelancaran pengaliran darah ke seluruh badan penting bagi pengangkutan horman dan zat pemakanan.

Pengaliran darah yang tersekat dan lemah akan mengakibatkan organ-organ badan tidak berfungsi dengan baik yang menyebabkan penyakit berbahaya berkaitan pengaliran darah. 

Aktiviti badan yang aktif meningkatkan kadar metabolisma badan dan pembakaran lemak. Ini dapat mengatasi masalah kadar berat badan berlebihan atau obesiti. Keadaan badan mengalami obesiti mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

Kepentingan bersukan dan bersenam menyebabkan kerajaan melancarkan program sukan untuk semua dan gaya hidup sihat yang mana setiap orang perlu bersukan setiap hari atau sekurang-kurangnya selama 20 minit setiap kali sebanyak tiga kali seminggu.

Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek kehidupan. Ini termasuk penjagaan dari sudut kesihatan, di mana Islam amat menitikberatkan kesejahteraan tubuh badan sebagaimana Islam menjaga jiwa dan akal. Justeru itu, kita amat dituntut supaya menjaga kesihatan kerana “sihat” merupakan anugerah berharga dari Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu” (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah” (Hadis riwayat Muslim)

Islam juga meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman)” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Kita juga diajarkan oleh Islam untuk menjaga kesihatan dengan cara pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit seperti pepatah Inggeris “Prevention is better than cure” atau “Mencegah itu lebih baik daripada berubat”.

Tetapi, perlu juga diingatkan, di samping kita menjaga anugerah kesihatan yang diberikanNya kadangkala kita diuji dengan sedikit kesakitan. Rasulullah s.a.w telah mewasiatkan kepada pesakit-pesakit supaya mereka berubat.

Sabda Baginda SAW: “Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat” (Hadis riwayat Bukhari)

Di antara perkara yang menunjukkan Islam menggalakkan penganutnya menjaga kesihatan adalah Rasulullah SAW telah menyenaraikan beberapa jenis ubat yang boleh digunakan seperti madu, tumbuhan herba, berbekam, jampi syari (amalan doa, ayat Al-Quran dan Hadis), dan lain-lain lagi yang tidak bercanggah dengan Islam.

Perubatan perlu dirujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika sesuatu urusan itu berkait dengan hal-hal keduniaan maka kamulah yang mengaturnya dan jika ianya berkait dengan hal-hal keagamaan maka rujuklah kepadaku”. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).

No comments:

Post a Comment