Sunday, 16 July 2017

Cara buat telur masin

Telur masin atau dipanggil juga telur jeruk merujuk kepada telur diawet dengan menggunakan garam bagi mengekalkan ketahanannya. Cara buat telur masin amat mudah. Jenis telur sesuai dijeruk ialah telur itik. 

Umumnya telur itik akan rosak setelah disimpan lebih 2 minggu di ruang terbuka. Kerosakan berpunca dari kotoran yang terdapat di lapisan kulit telur dan penurunan mutu telur disebabkan dengan kelembapan persekitaran.

Prinsip pengawetan telur adalah bertujuan untuk mencegah peranan bakteria serta keluarnya air dari dalam telur. Justeru pengawetan telur penting untuk menjaga meningkatkan kualiti dan nilai tambah telur segar tersebut. Salah satu cara yang ekonomik ialah menjadikannya sebagai telur masin.

Telur itik dimasinkan juga atas alasan permintaan. Ada orang tidak berminat makan telur itik segar, tetapi peminat tegar telur masin, lebih-lebih lagi bahagian kuning telur. Peminat telur masin sanggup membayar harga lebih mahal untuk mendapatkan telur masin.

CARA MEMBUAT TELUR MASIN BASAH
Bahan-bahan:
- 10 biji telur itik.
- 250 gram garam kasar.
- 1 liter air bersih.
- Berus halus - untuk membersihkan kotoran pada telur.
- 1 bekas plastik atau kaca yang kedap udara.

Cara membuat:
- Cuci telur hingga bersih dan kemudiannya dikeringkan.
- Buat larutan air garam yang terdiri dari air dan garam kasar.
- Masukkan larutan tersebut di dalam bekas plastik yang berpenutup kedap udara.
- Masuk telur yang dibersihkan ke dalam bekas (hingga semua telur terendam) dan tutup bekas dengan penutup kedap udara.
- Simpan telur selama 10-20 hari sebelum digunakan.

No comments:

Post a Comment