Hukum makan belangkas dan telur
belangkas. Belangkas ialah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit
di paya air tawar. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak
menggigit.
Belangkas adalah dari famili
Limulidae. Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai
ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya
ialah carcinoscorpius rotundicauda. Haiwan ini merupakan artropod laut
yang bentuk badannya mirip kepada 'ketopong besi' tentera dan juga mempunyai
ekor yang panjang dan tajam.
Ia boleh mencapai saiz sehingga
51 cm (20 inci). Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia
juga mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.
Binatang ini oleh kerana
sifatnya berada dalam air, maka ia adalah termasuk di dalam
binatang bahriatau ma’i.
Berdasarkan umum nas hadis Nabi
SAW: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.” - (Riwayat Abu
Daud, al-Turmuzi, al-Nasa’ie, Ibn Majah)
Berdasarkan hadis ini, Syeikh
Abdullah bin Bassam berkata, semua bangkai haiwan laut adalah halal. Kami
perkuatkan hujahan dengan keharusan ini berdasarkan firman Allah SWT:
“Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanannya.” – (Surah
al-Ma’ida: 96)
Umar bin al-Khattab RA
berkata: “Binatang buruannya, iaitu apa sahaja yang dapat ditangkap di
laut, dan makanannya pula, iaitu apa yang dilemparkan laut ke pantainya dari
binatangnya. Ibn Abbas berkata: Maknanya iaitu bangkai-bangkai yang dikeluarkan
daripada perutnya.”
Begitu juga sebarang bentuk
haiwan yang tidak ada nas qati’ie pengharamannya maka hukumnya adalah halal.
Ini berdasarkan kaedah “Asal pada sesuatu itu adalah harus”.
Jenis haiwan yang boleh dimakan
adalah binatang yang tidak memudaratkan kesihatan kita. Ini selaras dengan
hadis Nabi SAW: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri
dan orang lain.” - (Riwayat Ibn Majah, no. 2341)
Berdasarkan kepada amalan
sebahagian masyarakat Malaysia yang memakan belangkas, maka didapati tiada
kesan kemudaratan atau keracunan terhadap mereka. Ini menjadi bukti dengan
jelas tentang keharusan memakan belangkas.
Berkenaan dengan telurnya pula,
jika binatang tersebut boleh dimakan yang menjadi induk atau ibu, maka telurnya
juga boleh dimakan. Ini berdasarkan kaedah “Yang mengikut itu mengambil hukum
yang mengikut asalnya.
Begitu juga dengan kaedah “Anak
atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”
Hal ini bertepatan dengan
keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah
membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah
memutuskan seperti berikut:
- Setelah meneliti keterangan,
hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada
nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan
Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan
hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang
hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal
hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.
- Sehubungan itu, selaras
dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di
dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan,
maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur
belangkas adalah diharuskan.
No comments:
Post a Comment