Tuesday 24 October 2017

Wajib fasih bahasa kebangsaan

Bahasa Jiwa Bangsa. Ungkapan itu bukti pentingnya Bahasa Kebangsaan sebagai identiti kepada sesebuah negara bangsa. Kita kenal sesuatu kaum dan negara berdasarkan bahasa yang dituturkan.

Maka, amat janggal jika ada penduduk bertaraf warganegara tetapi tidak boleh memahami, tidak boleh bertutur, tidak boleh menulis dan tidak boleh membaca di dalam bahasa kebangsaan negaranya.

Tiada alasan boleh dijadikan sebab warganegara tidak fasih bahasa kebangsaan negara masing-masing. Jika penduduk asing yang tinggal beberapa tahun di sesebuah negara sudah fasih berbahasa kebangsaan di negara berkenaan, mengapa pula warganegara sendiri yang dilahirkan dan tinggal di negara sejak berpuluh-puluh tahun tidak fasih bahasa kebangsaan.

Sebenarnya, tidak keterlaluan jika setiap warganegara diwajibkan fasih berbahasa kebangsaan. Tanpa memiliki kemahiran itu, wajar hak mereka ditarik atau disekat, sebagai contohnya tidak layak untuk mengundi dalam pilihan raya.

Tindakan itu bukan satu hukuman, tetapi untuk mendidik rakyat agar fasih berbahasa kebangsaan. Bukan sukar untuk menguasai dan memahami bahasa kebangsaan kerana ia digunakan dalam semua urusan kehidupan seharian.

Jika penduduk asing boleh menguasainya dalam masa singkat, apa pula alasan warganegara untuk berhujah sukar menguasai bahasa kebangsaan.

Para pengasas negara ini ketika menggubal Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Penyata Razak te­lah memperkenalkan konsep satu aliran persekolahan dikenali sebagai sekolah kebangsaan berlandaskan premis bahawa sekolah adalah sebaik-baik tempat untuk menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, agar dapat saling mengenali, saling memahami dan saling menghormati antara satu sama lain, lantas menjalin hubu­ngan harmoni sejak daripada usia remaja.

Namun dinamik yang berlaku pada kemudian hari, telah menampilkan pelbagai cabaran baharu yang memerlukan beberapa pengubahsuaian dilakukan. Sekolah vernakular lalu diberikan kebenaran untuk terus beroperasi.

Pendirian terbuka kerajaan ini wajib dihargai dengan membuk­tikan bahawa premis mahu menjadikan sekolah sebagai tapak memupuk perpaduan masih dapat dilaksanakan melalui sekolah vernakular. Keupayaan berkomunikasi antara rakyat pelbagai kaum adalah prasyarat kepada kemungkinan berlakunya inte­raksi. Bahasa adalah medium yang dapat menjalinkan dan me­rapatkan hubungan manusia.

Keupayaan menguasai bahasa pertuturan dan bahasa penulisan yang sama adalah prasyarat memungkinkan berlakunya komunikasi. Sekolah vernakular, sewajibnya menunjukkan komitmen ke­pada kerajaan dan rakyat di negara ini, bersedia mengambil tanggungjawab memastikan setiap pe­lajar yang mengikuti persekolahan di sekolah vernakular, berupaya menguasai bahasa Malaysia de­ngan tahap kefasihan yang setanding atau lebih tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan.

Usaha untuk memfasihkan setiap pelajar di sekolah vernakular menguasai bahasa kebangsaan hendaklah diterima sebagai satu cabaran dan pencapaian pelajar menguasai bahasa kebangsaan, dijadikan salah satu indeks utama pengukuran pencapaian sekolah.

Kejayaan sekolah vernakular mem­fasihkan anak didik mereka menguasai bahasa kebangsaan akan dapat membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu di samping turut memini­mumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat di negara ini, terhadap sekolah vernakular.

No comments:

Post a Comment