Wednesday 25 October 2017

Gagal kuasai bahasa kebangsaan

Semua negara mengiystiharkan bahasa kebangsaan masing-masing. Di Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Kedudukan ini diperakui melalui peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan: 
Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa—
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Bahasa kebangsaan menjadi asas perpaduan hubungan di antara rakyat. Hakikat itu diterima semua pihak. Semua rakyat perlu mampu menguasai bahasa kebangsaan dengan fasih. Ini penting terutama apabila melakukan urusan rasmi melibatkan individu berlainan kaum.

Biarpun, kerajaan tidak menghalang pengajaran mana-mana bahasa di sekolah atau institusi pendidikan, kelonggaran itu tidak seharusnya diambil kesempatan sehingga mengabaikan penguasaan bahasa kebangsaan.

Malang sekali, pengoperasian sekolah vernakular dilihat sebagai punca kaum tertentu gagal berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

Sepatutnya, sekolah vernakular, selain mementingkan bahasa kaum, mesti memastikan pelajarnya fasih atau mampu berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia. Mereka perlu melihat kepen­tingan nasional dalam sistem pendidikan negara yang mana matapelajaran bahasa kebangsaan perlu diutamakan.

Penguasaan bahasa kebangsaan amat penting kerana ia berperanan menyatukan seluruh rakyat yang berbilang kaum. Jika masing-masing kaum mengguna bahasa ibunda, bagaimana bangsa lain untuk memahaminya.

Kaum lain perlu menghargai peluang diberikan kerajaan dalam membenarkan sekolah vernakular terus beroperasi dengan cara menjayakan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap rakyat mampu berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

Untuk mengatasi masalah penguasaan bahasa kebangsaan di kalangan bukan Melayu, Kementerian Pendidikan digesa mengambil langkah proaktif dengan segera bagi mengatasi masalah kelemahan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu, khususnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Kementerian perlu mencari jalan bagi mengatasi masalah itu. Bayangkan, walaupun sudah berada di peringkat sekolah menengah, ada antara mereka tidak dapat menguasai dan memahami Bahasa Melayu.

Mahu tidak mahu sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menguasai Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan. Hal ini bergantung kepada kemahuan dan kehendak untuk belajar bahasa kebangsaan dan bukannya berkaitan ketidakmampuan kerana bahasa Melayu sukar untuk diamalkan.

Buktinya, banyak rakyat asing yang datang ke Malaysia mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu setelah beberapa bulan atau tahun tinggal di Malaysia. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

No comments:

Post a Comment