Makan sura dalam tempurung kelapa satu pemandangan yang
sukar dilihat sekarang biarpun program atau majlis kacau sura masih wujud di
Kelantan dan negeri-negeri lain yang diadakan sempena 10 Muharam. Sekarang ini
orang lebih suka menggunakan bekas polisterin dan pinggan plastik untuk
diletakkan sura.
Pada masa dulu pemilihan tempurung digunakan bukan kerana
tiada pinggan, tetapi lebih bersifat kreatif terutama di kalangan kanak-kanak
untuk menadah sura baru masak yang masih panas. Mereka mengambil belahan
tempurung yang mana isi kelapa digunakan untuk santan memasak sura.
Jadi, tempurung dipilih sebagai altenatif untuk digunakan
memasukkan sura. Tempurung itu dikikis sehingga bersih dari baki isi kelapa.
Tempurung itu digunakan tanpa diletakkan apa-apa lapisan atau digunakan daun
pisang untuk dilihat lebih bersih serta mendapat aroma daun pisang.
Tempurung tidak panas biarpun dimasukkan sura panas yang
baru diangkat. Budak-budak gembira apabila mendapat setempurung sura untuk
setiap orang.
Untuk makan sura yang masih panas dan lembik, mereka tidak
menggunakan sudu besi, sebaliknya menggunakan daun atau pelepah nenas sebagai
sudu. Memang kreatif dan mesra alam. Itu satu kenangan menarik golongan dulu
setiap kali tiba musim sura.
Selain tempurung, satu lagi bekas yang digunakan untuk
menadah sura ialah batang pisang yang dipotong dan dileraikan atau dikopek
menjadi seperti perahu. Sura diletakkan di tengah-tengah dan tidak akan
mengalir tumpah disebabkan sura biasanya pekat likat yang tidak mengalir.
Itulah tradisi masyarakat dulu yang keatif menggunakan apa
saja unsur alam yang ada di sekeliling. Penggunaan unsur alam digunakan
sepenuhnya dan tentunya menjimatkan.
Sekarang ini semua hendak mudah. Guna sahaja bekas plastik.
No comments:
Post a Comment