Sunday 12 November 2017

Negara iktiraf wanita cemerlang

Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) yang ditubuhkan pada 1963 telah melakar banyak kejayaan bermakna dalam mengangkat martabat wanita Malaysia. Semua pencapaian itu membentuk landasan bagi penyertaan wanita dalam Program Transformasi Kebangsaan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang terangkum dan lestari menjelang 2020.

Seawal 1961 lagi, jawatankuasa penaja yang dibentuk lapan organisasi pengasas berjaya merayakan Hari Wanita yang pertama pada 25 Ogos 1962, satu tarikh yang dipersetujui Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merasakan bahawa negara harus menghargai wanita terlebih dahulu sebelum merayakan kemerdekaan dan mengiktiraf sumbangan besar wanita dalam memperoleh kemerdekaan. Tunkulah juga yang melantik menteri wanita pertama pada 1969.

Berpegang kuat kepada nilai perpaduan, keharmonian, keamanan, kesaksamaan dan keadilan, struktur organisasi dan gerak kerja NCWO melambangkan penghormatan yang jitu terhadap kepelbagaian etnik dan kepentingan di kalangan ahli bersekutunya. Bolehlah dirumuskan bahawa pertubuhan besar ini memaparkan dengan jelas model 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kejayaan pertama NCWO adalah mengesyorkan kepada kerajaan untuk menukar status pekerja wanita yang berkahwin daripada berjawatan sementara kepada berjawatan tetap dan berpencen menerusi penguatkuasaan Akta Persaraan (Pindaan) 1968.  Seterusnya dasar gaji sama bagi pekerjaan yang sama nilai dan wanita berkahwin diiktiraf sebagai seorang yang mempunyai hak individu menerusi Akta Cukai Pendapatan (Pindaan) 1975 yang membenarkan penaksiran berasingan untuk mereka.

Dalam perhimpunan Hari Wanita pada 1975, Tun Abdul Razak Hussein mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kebangsaan bagi Integrasi Wanita dalam Pembangunan (NACIWID). Majlis ini ditubuhkan oleh Tun Hussein Onn dan menjadi titik tolak kepada pembentukan jentera kerajaan yang dinaik taraf dari sebuah unit ke bahagian, jabatan dan akhirnya kementerian.

Pada 2001, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditubuhkan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam tempoh itu juga, Dasar Wanita Kebangsaan digubal dan satu bab mengenai wanita dalam pembangunan diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Keenam. Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menghalang diskriminasi berasaskan gender.

Pada 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam. Pada 2011, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman yang sama bagi sektor swasta.

Tidak dinafikan wanita Malaysia menunjukkan kemajuan mengagumkan dalam hampir semua bidang, terutama pendidikan sejak 50 tahun lalu. Nisbah 60:40 peratus wanita berbanding lelaki di universiti hanyalah satu contoh untuk menggambarkan keadaan tersebut.

No comments:

Post a Comment