Thursday 2 November 2017

Mengapa perlu ikut pemimpin

Kepimpinan suatu kuasa menghubungkan pemimpin dengan pengikut. Pemimpin yang baik mampu mendorong pengikut supaya melakukan apa yang ditetapkan dalam organisasi.

Kepemimpinan adalah satu proses dinamik, tidak statik dan mempunyai objektif sendiri iaitu satu kaedah pengarahan dan pembentukan manusia memenuhi keperluan organisasi. Dalam Islam, kepimpinan membawa kepada keimanan kepada Allah SWT.  

Kepemimpinan adalah suatu yang amat diperlukan dalam pengurusan Islam supaya di dalam suatu kumpulan atau organisasi itu ada pihak yang mengarah dan mengatur urusan. Apabila ada pemimpin, urusan yang dilakukan dapat difokuskan dan mengelak perbuatan membuat keputusan sendiri.  

Rasulullah SAW bersabda: “Jika tiga orang keluar bermusafir hendaklah salah seorang daripada mereka dilantik menjadi ketua”.

Jelas sekali, dalam kelompok yang kecil telah ditetapkan agar dilantik seorang ketua. Tentu sekali pemimpin perlu dipilih untuk satu organisasi yang besar seperti sebuah negara yang mempunyai ramai rakyat.

Dalam sebuah organisasi yang besar, kepimpinan tidak ditentukan oleh seorang individu sahaja biarpun ada yang dilantik sebagai paling tinggi jawatannya. Contohnya, dalam kepimpinan negara, ia ditentukan secara kolektif oleh kebinet.

Fungsi kepemimpinan:  

- Membentuk dan membimbing ahli ke arah kejayaan dunia akhirat. Menyatukan kumpulan dengan bertindak sebagai pakar rujuk, orang tengah, penasihat, kawan, pendengar yang sabar dan seumpamanya. 

- Mewujudkan suasana selesa kepada orang yang dipimpin termasuk memberikan dorongan berdasarkan ganjaran atau hukuman dan teguran. Merancang, menyelia dan menilai prestasi setiap tugasan yang diberikan kepada warga organisasi.

- Memudahkan perhubungan di kalangan anggota organisasi dengan berkemahiran mengenai teknik komunikasi sama ada antara perseorangan, kumpulan kecil atau kumpulan besar.

- Memastikan setiap perancangan organisasi berjalan baik dan sentiasa mengambil berat mengenai latihan dalam pelbagai bidang kemahiran diperlukan pekerja.

No comments:

Post a Comment