Sunday, 12 November 2017

Masjid Muhammadi Kota Bharu

Peranan masjid sebgai pusat pengembangan ilmu tidak dapat dinafikan. Hal ini bermula sejak zaman Rasulullah SAW apabila masjid menjadi tempat terawal perkembangan Islam. Rasulllah SAW menjadikan masjid tempat untuk mengajar hal-hal ilmu keagamaan, ekonomi, perniagaan, peperangan, undang-undang dan sebagainya. 

Perkara ini turut dicontohi di tempat-tempat di mana Islam disebarkan dan berkembang. Tidak terkecuali perkara ini berlaku di alam Melayu. Pendakwah yang diterima menyebarkan agama Islam di sesuatu kawasan biasanya diberi penghormatan untuk membina masjid dan dijadikan tempat pengajaran ilmu-ilmu agama. 

Memandangkan pendidikan awal berkaitan Islam tidak dilakukan secara kelas formal, maka itu pendidikan di masjid biasanya dilakukan selepas waktu sembahyang, terutama pada waktu antara Maghrib hingga Isya. Mereka yang datang belajar tidak kita peringkat umur. Jadi, bidang ilmu yang disampaikan lebih bersifat umum. Ia lebih kepada soal tauhid dan perlaksanaan ibadah. 

Apabila Islam semakin berkembang dan memerlukan kaedah pengajian lebih tertumpu kepada bidang tertentu dan mendalam, maka kelas-kelas agama di masjid diadakan secara khusus mula diperkenalkan. Maka itu, masjid tertentu mula dikenali sebagai institusi pendidikan lebih formal yang dikendalikan oleh ulama terkenal dan lebih teratur.

Contoh masjid yang menjadi pusat perkembangan pendidikan Islam ialah Masjid Kota Bharu. Masjid Kota Bharu muncul sebagai pusat pengajian dan keilmuan terpenting di Kelantan dan seluruh Nusantara. Di Masjid Muhammad pernah menjadi pusat tahfiz pengajian al-Quran dengan kerjasama JAKIM.

Masjid Besar Kota Bharu atau kini dikenali Masjid Muhammadi mula dibina pada tahun 1921 (menggunakan batu) menggantikan bangunan kayu. Masjid tersebut siap sepenuhnya pada tahun 1931. Ia dianggap bangunan tercantik di Kota Bharu dan di antara bangunan terawal mendapat bekalan elektrik sepenuhnya.

Kewujudan Masjid Besar Kota Bharu menyerlahkan fungsi masjid sebagai pusat perkembangan ilmu. Berhampiran bangunan Masjid Besar Kota Bharu dan kawasan sekitar telah wajud beberapa pusat pengajian Islam dan pusat pentadbiran Islam.

Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Tabal (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali(1868-1933). Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini.

Masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah".

Dari sudut pengisian, sehingga ke hari ini, asas pengajian ilmu seperti kaedah yang diperkenalkan oleh Tok Kenali puluhan tahun lalu kekal menjadi keistimewaan Masjid Muhammadi.

Sehingga sekarang di Masjid Muhammadi masih mengadakan sesi ‘tadahan’ (pengajian) kitab dari pukul 7.00 hingga 8.00 pagi setiap hari mengumpulkan ‘murid-murid’ daripada latar belakang berbeza yang mahu membaca dan mendalami kitab daripada pelbagai genre ilmu.

Setiap kitab fekah, tasawuf, tafsir dan hadis contohnya Kitab Tafsir An-Nasafi dan Feqah Al-Mahalli ini akan ditelaah dari kulit ke kulit bersama tenaga ilmuan berkaliber yang kami jemput.

Penuntutnya terdiri daripada golongan pendidik, profesional dan pesara akan membaca dalam bentuk halaqah ilmu sama seperti pengajian sistem pondok dan tidak akan melangkau mana-mana bab pun sehinggalah mereka menghabiskan satu-satu kitab.

No comments:

Post a Comment