Sunday, 12 November 2017

Institusi pengajian pondok di Kelantan

Sistem pendidikan pondok merupakan antara institusi pendidikan Islam yang bersifat formal dan mempunyai pengaruh yang besar di kalangan masyarakat Islam di alam Melayu. Sistem pengajian pondok mula berkembang sejak abad ke 18 Masihi hingga ke abad 20 Masihi.

Di Tanah Melayu, sistem pengajiaan berkembang pesat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Perkataan pondok diambil berdasarkan kepada pondok-pondok atau rumah kecil yang dibina oleh pengasasnya berhampiran masjid atau bangunan yang dijadikan kelas. Pondok ini dijadikan tempat tinggal bagi pelajar atau mereka yang tinggal jauh dari tempat itu.  

Terdapat juga pondok yang dibina sendiri oleh pelajar yang membuktikan kesungguhan mereka ingin belajar. Selepas tamat belajar, pondok itu diwakafkan pula kepada pelajar lain.

Kelantan mengalami perkembangan institusi podok yang amat ketara. Terdapat berpuluh-puluh buah pondok terkenal di negeri tersebut seperti Pondok Pasir Tumbuh, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Bunut Payong, Pondok Bachok dan sebagainya. Pondok-pondok seperti ini mewarnai negeri Kelantan dengan nilai-nilai keagamaan dan lahir ramainya tokoh-tokoh agama di negeri tersebut.
 

Tarikh tepat penubuhan pondok di Kelantan tidaklah diketahui, namun sistem ini telah muncul pada awal abad ke 19 Masihi. Ia bermula apabila Tuan Haji Abdul Samad Abdullah membina pondok pertama di Pulau Chondong yang terletak di Jalan Kuala Krai - Kota Bharu. Seterusnya pondok lain telah dibina oleh Haji Ismail di Machang.

Pengajian pondok di Kelantan dipelopori oleh ulama yang terkenal yang kembali dari Mekah dan amat disanjung oleh masyarakat Kelantan pada masa itu itu. Jadi, tidak hairan jika pengaruh mereka amat besar dan diyakini mengenai tahap keilmuan yang dimiliki. 

Ulama-ulama Kelantan di Kota Bharu mulai pertengahan kedua abad ke 19 mengajar ilmu tasawuf, feqah, usuluddin dan cabang-cabang ilmu linguistik. Antara mereka yang terkenal itu ialah Haji Abdul Samad Muhd. Salleh (Tuan Tabal, 1840-1891), Haji Wan Ali Abdul Rahman Khutam dan Haji Yaakob Abdul Halim. Dengan tertubuhnya Pondok Kubang Pasu , Di Kota Bharu pada tahun 1850, Tuan Tabal telah membawa kepada perkembangan dan meluaskan lagi pendidikan pondok di Kelantan.

Perkembangan pondok di Kelantan mulai pesat selepas tahun 1909 berikutan kepulangan sejumlah besar ulama negeri ini dari Patani dan Mekah. Ulama ini memainkan peranan penting memperkembangkan sistem pondok dengan membuka pondok di kawasan mereka. Nama-nama seperti Tok Selehor (Tuan Guru Syeikh Abdul Rahman), Tok Jelapang (Tuan Guru Haji Ahmad) dan Haji Wan Musa adalah ulama terkenal di Kelantan.

No comments:

Post a Comment