Sunday 12 November 2017

PENGAJIAN PONDOK DI KELANTAN


Pengajian pondok di Kelantan dipelopori oleh ulama yang terkenal yang kembali dari Mekah dan amat disanjung oleh masyarakat Kelantan pada masa itu itu.  Jadi, tidak hairan jika pengaruh mereka amat besar dan diyakini mengenai tahap keilmuan yang dimiliki. 

Ulama-ulama Kelantan di Kota Bharu mulai pertengahan kedua abad ke 19 mengajar ilmu tasawuf, feqah, usuluddin dan cabang-cabang ilmu linguistik. Antara mereka yang terkenal itu ialah Haji Abdul Samad Muhd. Salleh (Tuan Tabal, 1840-1891), Haji Wan Ali Abdul Rahman Khutam dan Haji Yaakob Abdul Halim. Dengan tertubuhnya Pondok Kubang Pasu , Di Kota Bharu pada tahun 1850, Tuan Tabal telah membawa kepada perkembangan dan meluaskan lagi pendidikan pondok di Kelantan.

Perkembangan pondok di Kelantan mulai pesat selepas tahun 1909 berikutan kepulangan sejumlah besar ulama negeri ini dari Patani dan Mekah. Ulama ini memainkan peranan penting memperkembangkan sistem pondok dengan membuka pondok di kawasan mereka. Nama-nama seperti Tok Selehor (Tuan Guru Syeikh Abdul Rahman), Tok Jelapang (Tuan Guru Haji Ahmad) dan Haji Wan Musa adalah ulama terkenal di Kelantan.

Pada pertengahan abad ke 19 Masehi. Pondok Tok Kenali merupakan pusat pengajian Islam yang terkenal di Asia Tenggara.

Dalam tahun 1913 Masehi Pondok Bunut Payong atau Madrasah Ahmadiah telah diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Kemudian diikuti pula oleh Pondok Lati, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Kubang Benbam dan Pondok Paksu Wel.

Perkembangan pondok berkembang dengan dinamik di zaman kegemilangan Tok Kenali dan selepasnya. Di tahun 1910 hingga 1945 Masehi ini bolehlah dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pondok di Kelantan.

Bermula zaman dari tahun 1945 masehi, perkembangan pondok mulai merosot. Sebab utama kemerosotannya ialah berpunca dari perubahan-perubahan dalam perkembangan pelajaran di Kelantan. Pada masa itu mulai muncul sekolah-sekolah rakyat yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar, ditambah pula sekolah-sekolah Melayu dan agama kerajaan lebih baik dan terjamin berbanding sistem pondok.

Namun begitu, dalam tahun-tahun 40an dan 50an masih muncul beberapa buah pondok baru.  Antara pondok baru ialah Pondok Haji Muhd. Noor di Kampung But, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu yang diasaskan oleh Haji Muhd. Noor pada tahun 1946. Pada tahun 1950 Pondok Darul Ulum al-Ahmadiah telah ditubuhkan di Kampung Kolam, Bachok oleh Haji Muhammad Abdullah. Pada tahun 1958 pula, Pondok Sungai Durian telah ditubuhkan di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai oleh Haji Abdul Rahman Sulaiman.

Pada tahun 1971, jumlah pondok di Kelantan berjumlah lebih 100 buah yang berada di seluruh pelusok Kelantan.

Bagaimanapun semenjak tahun 1970-an, kegemilangan institusi pondok mulai pudar. Ia diambil alih oleh institusi madrasah atau sekolah agama/Arab. Banyak institusi pondok telah ditukar kepada sistem sekolah Arab.

Terdapat pondok yang menjalankan dua aliran iaitu tradisi dan sistem penilaian peperiksaan yang dianjurkan Kementerian Pelajaran Malaysia seperti PMR, SPM dan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) bagi mengekalkan minat pelajar terus belajar di pondok.

Selain itu, Yayasan Islam Kelantan turut memperkenalkan sistem pondok moden yang memberi peluang pelajar mengikuti pengajian lebih sistematik dan kelulusannya diiktiraf untuk melayakkan menyandang jawatan dalam sektor awam.

Pusat Pengajian Islam yang pertama dalam bentuk ala pondok yang bersistem dan mengikut cara baru di Telong, Bachok, Kelantan yang digelar "Pusat Pengajian Pondok" yang telah memulakan operasi pada 11 Feb. 1984. Lulusannya berpeluang melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar dan pusat pengajian tinggi awam di dalam dan luar negara. 

Dalam meniti arus pemodenan dan cabaran zaman, untuk menjamin sistem ini agar terus unggul dan berfungsi, maka pada 22 April 1995 usaha guru-guru pondok di Kelantan telah menubuhkan sebuah badan khas untuk menangani masalah itu yang dikenali Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB).

No comments:

Post a Comment