Monday, 13 November 2017

Cabaran mendidik anak

Tanggungjawab ibu bapa mendidik anak. Bermula sejak kecil hingga anak menjadi dewasa perlu menerima didikan secara berterusan daripada ibu bapa. 

Proses mendidik ini dilakukan secara tidak formal yang lebih banyak kepada menunjukkan tauladan yang baik untuk dicontohi oleh anak dan pada masa sama menegah anak daripada melakukan perkara buruk atau ditegah agama.

Bagaimanapun, ibu bapa sekarang lebih banyak menyerahkan tugas itu kepada pihak sekolah. Mereka lupa untuk memberi bimbingan agama kepada anak menyebabkan mereka jahil dan ada yang membenci ajaran agama.

Anak yang belum kukuh jatidiri berkaitan Islam akan mudah terpengaruh dengan pemikiran masa kini yang lebih bersifat liberal dan plura. Serangan pemikiran terhadap umat Islam dilakukan secara meluas melalui media massa, media sosial, filem, hiburan dan sebagainya.

Kehidupan bebas dan melalaikan memang mudah mendapat perhatian golongan muda yang sukakan kepada hiburan dan bersuka ria. Mereka tidak ingin dikongkong dan terikat dengan sesuatu peraturan agama yang dianggap berlawanan dengan prinsip hak asasi manusia yang bebas memilih apa yang difikirkan baik untuk dirinya.

Keadaan itu berleluasa ketika ini kerana ramai dalam kalangan umat Islam yang mempertikai mengenai agama setelah terpengaruh dengan ajaran yang membuatkan mereka ragu-ragu dengan Islam.

Membiarkan anak terdedah kepada bahan bacaan berbaur kesesatan adalah kesilapan yang dilakukan ibu bapa kerana tanpa sebarang kawalan ia akan merosakkan pemikiran mereka.

Melalui penulisan, banyak pihak akan mempergunakan anak ini untuk membesar dengan pegangan akidah yang lemah malah memandang rendah kepada sejarah perkembangan agama Islam dan akhirnya menjadi musuh yang menentang prinsip beragama dan berpaling daripada ajaran Islam yang hakiki.

Ini termasuklah bahan penulisan oleh golongan liberal dan sekular serta mereka yang terpengaruh kepada fahaman sedemikian, akhirnya merosakkan pemikiran anak golongan mukmin yang jauh daripada didikan guru alim serta soleh.

Kebebasan bergaul tanpa batasan juga akan merosakkan anak tanpa mengira peringkat usia kerana pada usia yang masih muda ada yang sudah terjebak melakukan pelbagai jenayah. Semua itu berpunca daripada ibu bapa yang gagal mengawal perlakuan anak mereka.

Pada malam hari, waktu sepatutnya anak berada di rumah sebaliknya mereka masih berkeliaran, melepak dan melakukan kegiatan maksiat. Keadaan ini akan menyebabkan perkembangan anak menjadi semakin buruk pada masa akan datang dan merosakkan keimanan mereka.

Justeru, untuk mengukuhkan keimanan dalam diri anak, tanamkan rasa khusyuk, takwa dan sifat kehambaan kepada Allah SWT sejak mereka kecil lagi. Rasa khusyuk dapat dibentuk ketika mereka memberi sepenuh perhatian kepada ibadat solat.

Sentuhlah jiwa mereka dengan rasa sesalan dan kehambaan ketika membaca al-Quran dan sering mengingatkan bahawa orang mukmin berjaya bukan yang memiliki harta dan kemewahan atau kecantikan rupa paras, tetapi yang sentiasa khusyuk ketika mendirikan solatnya.

No comments:

Post a Comment