Monday, 13 November 2017

Pupuk iman dalam diri anak

Anak perlu dididik dengan kekuatan iman dan sahsiah diri yang mantap agar mampu menghadapi ujian kehidupan di dunia ini khususnya ancaman pemikiran yang merosakkan seperti liberal dan sekular.

Allah SWT menjadikan dunia ini sebagai medan ujian di sepanjang kehidupan manusia bermula usia mereka mencapai akil baligh. Islam menuntut manusia mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT di setiap jiwa anak dan tidak membiarkan mereka hidup menyimpang daripada agama.

Oleh itu, sandarkan segala tindakan dan urusan kepada al-Quran dan hadis terutama untuk mengukuhkan keimanan anak seperti sabda Rasulullah SAW supaya diperkenalkan kalimah syahadah kepada anak supaya kalimah tauhid menjadi perkara pertama didengari bayi yang dilahirkan ke dunia. Apabila anak sudah mampu berfikir, kenalkan mereka hukum halal dan haram.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: "Bekerjalah kamu dengan taat kepada Allah dan jauhilah hidup kamu daripada melakukan maksiat kepada Allah. Hendaklah kamu mengajar anakmu sejak kecil untuk mentaati perintah Allah, larang mereka daripada melihat perkara yang tidak baik. Apabila kamu melakukan sedemikian, kamu sedang menjaga diri kamu dan dirinya daripada dihumban ke dalam neraka."

Selain itu, apabila umurnya mencecah tujuh tahun ajak mereka beribadat kepada Allah SWT, iaitu mengajar untuk solat, mengenali aurat lelaki dan perempuan yang berbeza antara satu sama lain.

Begitu juga dibenarkan untuk memukul dengan tujuan untuk mendidik jika meninggalkan solat apabila usianya mencapai 10 tahun, selain mengasingkan tempat tidur mereka dan membiasakan diri untuk berpuasa serta mengerjakan haji apabila berkemampuan.

Mendidik anak mengenali agama adalah hak mereka yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa supaya sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah SWT. Malah untuk mengukuhkan keimanan anak yang sedang membesar, didiklah mereka mencintai Rasulullah SAW dan keluarga Baginda.

Daripada Saidina Ali Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda: "Didiklah anak kamu pada tiga bahagian utama. Pertama, didiklah dia supaya mencintai nabi kamu. Kedua, didik mereka untuk mencintai keluarga Rasulullah dan ketiga, didiklah anak kamu dengan Al-Quran." (Riwayat at-Tabarani)

Golongan ibu juga digalakkan mendidik anak membaca al-Quran kerana suaranya yang lunak dan dapat meluangkan lebih masa bersama mereka. Malah, anak lebih mudah menerima didikan daripada ibu yang mentarbiah dengan penuh keikhlasan.

Sesungguhnya sesiapa yang hidup dengan al-Quran, individu itu akan berada di bawah naungan Arasy Allah SWT bersama nabi dan golongan manusia lain yang mendapat keuntungan besar kerana dinaungi oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment