Monday, 13 November 2017

Balasan kafir laku kebaikan

Semua manusia disaran melakukan kebaikan tanpa mengira agama anutan. Orang bukan Islam turut melakukan kebaikan atas kepercayaan akan mendapat balasan baik pada masa kehidupan selepas kematian.

Ulama bersepakat mengatakan orang kafir yang mati tidak membawa apa-apa kebaikan. Mereka hanya mendapat sedikit penghormatan ketika di dunia daripada kebaikan dilakukan seperti berbuat baik sesama manusia, menderma dan memuliakan tetamu.

Mereka hanya mendapat kesenangan dan penghormatan dunia manakala orang Islam mendapat kedua-dua manfaat daripada kebaikan mereka.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Mereka yang kafir tiada apa yang dapat mereka hasilkan di akhirat manakala orang yang beriman akan menuai hasil yang banyak di akhirat dan kurniaan rezeki yang melimpah dalam kehidupan dunia.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang kafir menarima balasan pedih bukan sahaja atas perbuatan buruk dilakukan, bahkan siksaan itu atas sebab mereka menolak kebenaran yang dibawa oleh Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka yang kafir dan sesat akan menerima balasan berganda di akhirat kelak sebagai balasan atas kesesatan dan kerosakan yang mereka lakukan.” (Surah an-Nahl, ayat 88)

Sesungguhnya, Islam dan iman menjadi syarat utama untuk menerima ganjaran di akhirat dan diharamkan sama sekali bagi orang kafir mendapat balasan baik di sana.

Alangkah eloknya orang bukan Islam yang selama ini banyak melakukan perkara baik sesama manusia menerima Islam sebagai jalan hidup yang mana mereka menikmati kebaikan ketika di dunia dan pahala sebagai bekalan hidup di akhirat.  

Membawa mereka ini bersama-sama melakukan kebaikan sebagai orang Islam memberi peluang mereka mendapat pahala berganda. Allah tidak mensia-siakan sesiapa yang mengesakan Dia dan turut melakukan kebaikan.

Firman Allah bermaksud: “Jika kamu menolong agama Allah SWT nescaya kamu akan mendapat pertolongan.” (Surah Muhammad, ayat 7)

Sesungguhnya pertolongan dari Allah amat luas dan tidak terfikir dalam bentuk mana akan hadir. Yakinlah Allah itu menepati janji.

No comments:

Post a Comment