Hidup manusia di dunia ini bertujuan untuk
melakukan ibadat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sesungguhnya setiap perbuatan di dunia ini
tidak kira kecil atau besar akan mendapat pembalasan yang setimpal.
Sebab itu, jika ingin melakukan kebaikan, jangan tunggu
yang memberi pahala besar baru ingin dilakukan. Buatlah perkara kecil dengan ikhlas.
Itu lebih memberi kebaikan berbanding melakukan amalan menjanjikan pahala besar
tetapi tidak ikhlas.
Sebasar manapun kebaikan yang dilakukan, tetapi jika
tidak ikhlas atau untuk tujuan selain kerana Allah, maka amalan itu tidak diterima
sebagai memberi pahala.
Setiap amalan dikira bergantung kepada niat. Untuk
dikira sebagai perbuatan kebaikan dan dibalaskan pahala, handaklah diniatkan semata-mata
mencari keredaan Allah.
Amalan kebaikan tidak hanya dicapai apabila melakukan
ibadat khusus semata-mata, tetapi juga semua perbuatan, percakapan mahupun
gerak hati dikira mendatangkan pahala sekiranya diniatkan untuk kebaikan.
Sabda Baginda SAW kepada sahabat: “Mahukah aku
ceritakan pada kalian mengenai tiga golongan manusia. Pertama, mereka yang
sentiasa berusaha mendampingi Allah SWT dengan melakukan kebaikan lalu mereka
didampingi Allah SWT. Kedua, mereka malu kepada-Nya untuk melakukan kejahatan
lalu Allah SWT malu untuk menolak permohonan mereka dan ketiga, mereka yang
menyimpang terus daripada Allah SWT apabila bergelumang dengan maksiat lalu
Allah melupakan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Golongan ketiga ini dikategorikan sebagai menipu
Allah SWT seperti disebut dalam Al-Quran antaranya firman bermaksud: “Mereka
menipu Allah SWT dan mereka akan tertipu.” (Surah An-Nisa’, ayat 142)
Dua golongan disebut melakukan kebaikan dan
menjauhkan kejahatan dianggap membantu agama Allah SWT dan mendapat
pertolongan. Mereka yang melakukan sesuatu untuk Allah SWT mendapat ganjaran
terbaik.
Firman Allah bermaksud: “Jika kamu menolong agama
Allah SWT nescaya kamu akan mendapat pertolongan.” (Surah Muhammad, ayat 7)
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Kamu tidak akan
meninggalkan sesuatu untuk Allah selain digantikan dengan yang lebih baik
daripada itu.” (Hadis riwayat Ahmad)
No comments:
Post a Comment