Tuesday, 5 December 2017

Kulat pusu tumbuh setahun sekali

Kulat atau cendawan tumbuh di seluruh dunia. Mengikut Wikipedia terdapat 1.5 juta spesis kulat di dunia. Daripad jumlah itu, Cuma 140 spesis sahaja yang tidak boleh dimakan atau beracun. 

Kulat tumbuh secara meliar dalam pelbagai medium. Kebanyakannya tumbuh di atas batang kayu yang mereput dan atas tanah. Sekarang ini banyak jenis kulat telah dikomersialkan atau ditanam.

Namun, ada sejenis cendawan yang dianggap unik dari segi medium tempat tumbuh dan masih tidak ditemui cara untuk ditanam. Jadi, ia tumbuh dalam bentuk secara semula jadi.

Cendawan busut atau di Kelantan dipanggil kulat pusu biasa tumbuh berhampiran tanah busut. Busut dikaitkan dengan tempat tinggal anai-anai. Dengan kata lain, kulat pusu mempunyai kaitan dengan kewujudan anai-anai di sesuatu kawasan.

Kulat pusu nama saintifiknya adalah Termitomyces sp. Dari famili Lyophyllaceae. Kulat pusu tumbuh secara meliar seperti di kawasan belukar, kebun, bahkan berhampiran laman rumah.

Kulat pusu tumbuh secara berkoloni di atas pusu anai-anai. Cara pembiakan atau penyebarannya adalah simbiosis obligat dengan anai-anai spesis Odontotermes spp.

Anai-anai membiakkan kulat dengan cara menghadamkan kayu-kayu dengan pertolongan mikrob-mikrob yang berada dalam perut mereka, mencerna kayu-kayu dan membuangnya sebagai najis di dalam pusu tempat mereka tinggal.

Kulat pula memerlukan najis anai-anai untuk tumbuh, dimana miseliumnya tumbuh pada kayu-kayu yang telah dicerna oleh anai-anai itu. Anai-anai sebaliknya menggunakan bahan yang telah terkompos oleh kulat sebagi makanan. Inilah yang dikatakan hidup bersama sehidup semati.

Kulat pusu akan tumbuh di tempat yang sama, sekiranya tempat itu tidak diganggu. Namun apabila kawasan tempat ia biasa tumbuh diratakan, digali dan dicangkul untuk didirikan penempatan, kulat pusu akan beralih untuk tumbuh di tempat lain pula, tetapi di sekitar itu juga. Ini berlaku kerana pusu anai-anai juga telah beralih.

Kulat pusu tidak hidup lama, jangka hayatnya mampu bertahan hanya 4 hari sahaja. Hari pertama topi kulat akan muncul dari tanah. Pada hari kedua ia tumbuh meninggi sehingga 5 – 6 inci dari atas permukaan bumi dan topinya sedikit membuka. Semasa hari kedua juga teksturnya sedikit kenyal dan keras.

Pada hari ketiga topinya menjadi besar dan hampir kembang. Pada hari keempat topinya berkembang dengan penuh dan dalam keadaan ‘malo’ atau matang. Oleh itu hari yang paling sesuai untuk mengutip kulat pusu adalah pada hari kedua.

Malam hujan lebat dan sebelah siangnya yang panas terik selama 3 hari berturut-turut menandakan musim kulat pusu tiba. Pengecaman juga boleh dilakukan dengan munculnya banyak kelekatu pada waktu malamnya.

Mengutip kulat pusu ada caranya. Sekiranya tanah tempat tumbuhnya kulat-kulat ini lembut, kerja mengutipnya menjadi senang, dengan cara menarik perlahan-lahan hingga ke akarnya dan ia tidak patah. Sekiranya tanah itu keras, batang-batang kulat akan mudah patah semasa mencabutnya. Oleh itu bagi memudahkan penuaian, tanah yang keras itu hendaklah disiram air terlebih dahulu bagi melembutkannya.

Berhati-hati semasa mengutip kulat pusu kerana struktur morfologi dan warnanya hampir sama iaitu putih dengan spesies yang beracun seperti Macrolepiota spesis, Lepiota spesis dan Amanita spesies.

Cara untuk mengelakkan salah faham ialah dengan mempastikan bahawa di bawah cendawan tersebut terdapat pusu anai-anai dan akar kulat pusu itu panjang dan sampai ke dalam sarang anai-anai tersebut.

Selepas kulat pusu dicabut, ianya dibersihkan dari tanah-tanah yang melekat tetapi tidak boleh dibasuh dengan menggunakan air kerana ini akan menyebabkan ia mudah rosak dan busuk.

Kulat yang sudah dicabut batangnya tidak akan membesar tetapi topinya akan mengembang. Untuk memberi ketahanan kulat-kulat itu hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan boleh tahan sehingga 7 hari.

No comments:

Post a Comment