Sunday, 10 December 2017

ELAK PILIH PEMIMPIN MENJADI BONEKA


Antara ciri negara Islam ialah pemilihan pemimpin tertinggi negara perlu menepati ciri-ciri atau syarat ditetapkan oleh syarak. Jawatan itu penting bagi memastikan perlaksanaan undang-undang dapat dilaksanakan. 

Umumnya, jawatan pemimpin dilakukan secara syura melalui keputusan bersama mereka yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan pemilihan atau pemilihan terbuka di mana setiap rakyat berhak memilih pemimpin. 

Pemilihan pemimpin perlu dilakukan dengan teliti berdasarkan syarat yang ketat bagi memastikan pemimpin itu benar-benar layak melaksanakan tugas yang diamanahkan. 

Sesungguhnya, jawatan pemimpin bukan untuk dimegah atau kepentingan diri, sebaliknya satu jawatan yang maha besar untuk dilaksanakan.

Sebab itu, Khalifah Umar Abdul Aziz ketika dilatik menjadi khalifah pada awalnya menolak jawatan itu. Beliau hanya menerima setelah dipujuk dan menyatakan syarat penerimaan jawatan itu. 

Kekuatan yang dimiliki oleh pemerintah merupakan penentu utama bagi kedaulatan negara yang di bawah pemerintahnnya.

Dengan kata lain, pemerintah tidak layak mengaku dirinya memiliki kuasa pemerintahan, sedangkan pada masa sama beliau dan kabinetnya gagal menguatkuasakan pemerintahan seperti yang sepatutnya. 

Pemimpin mestilah mampu bertindak untuk kepentingan rakyat dan mengikut kehendak rakyat, bukannya berdasarkan kepada kehendak pihak luas atau kuasa asing. 

Jika sedemikian, pemimpin itu hanya layak dipanggil boneka yang menjalankan arahan yang dikeluarkan oleh pihak lain.

Mari kita renungkan apa yang dikatakan oleh Hasan al-Banna: “Negara Islam adalah negara yang merdeka, tegak di atas syariat Islam, bekerja dalam rangka menerapkan sistem sosialnya, mengamalkan prinsip prinsip yang lurus, dan melakukan dakwah yang bijak ke segenap umat manusia.

No comments:

Post a Comment