Sunday 10 December 2017

Jawatan pemimpin bukan warisan

Kerajaan Islam bukan berbentuk warisan atau dimiliki oleh golongan tertentu saja. Setiap rakyat berpeluang menjadi pemimpin berdasarkan kepada kebolehan dan kelayakan untuk menjadi pemimpin. 

Pemimpin perlu dipilih secara sistem syura atau pemilihan secara terbuka yang diadakan di kalangan orang Islam. 

Sistem syura bukan saja ketika pemilihan pemimpin, tetapi berlanjutan dalam segala urusan pentadbiran lain. Ini kerana tugas sebagai pemimpin bukan mudah, melainkan ia menjadi tanggungjawab bersama yang perlu dipikul untuk kebaikan semua rakyat. 

Syura bererti bermesyuarat atau perbincangan untuk menyelesaikan masalah atau mencapai persetujuan. 

Perintah agar bermesyuarat dalam urusan pentadbiran negara dapat dilihat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah.” (Ali Imran: 159).

Keperluan mesyuarat untuk mendapat keputusan bersama diamalkan oleh Rasulullah SAW walaupun beginda mempunyai kebolehan tertentu dalam membuat keputusan kerana dibimbing secara langsung dari Allah SWT. Jelas sekali sunah itu memberi banyak kebaikan dan mempamerkan bahawa tindakan bermesyuarat membawa kepada hasil yang baik.

Dalam pentadbiran negara yang besar dan didiami banyak rakyat, kaedah syura seperti sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia memperlihakan bagaimana setiap kawasan parlimen diwakili oleh seorang ahli parlimen yang akan membawa permasalahan rakyat di kawasan diwakilinya dan menyatakan sesuatu untuk kepentingan bersama.

Sesungguhnya, urusan kehidupan bernegara wajib dijalankan secara syura bagi memastikan perjalanan pemerintahan berjalan lancar.

Ibn Arabi berkata: “Mesyuarat adalah merupakan salah satu daripada usul agama dan juga sunah yang diamanahkan oleh Allah SWT. Ianya adalah satu kewajipan ke atas seluruh umat Islam semenjak zaman Nabi SAW dan seterusnya.”

Ketegasan perintah agar sistem syura diamalkan dijelaskan juga dalam surah al-Syura, ayat 38 yang bermaksud: “Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.”

Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan mengenai perlantikan Jemaah Menteri yang secara jelas membuktikan bahawa kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan berasaskan kepada mesyuarat atau syura seperti dihendaki Islam.

No comments:

Post a Comment