Wednesday 23 May 2018

Akibat tidak malu membuat dosa

Terdapat individu tidak malu melakukan perbuatan jahat disebabkan tidak memahami bahawa perbuatan itu menyalahi syariat. Individu berkenaan dipanggil jahil dalam agama dan perlu dibimbing agar tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan itu.

Biasanya golongan muda mudah terpengaruh dengan perbuatan dosa atas alasan hidup alam muda untuk bersuka-ria dan menikmatinya sebelum usia tua. Mereka mendakwa akan bertaubat dan melakukan kebaikan apabila usia tua.  

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukan, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Dewasa ini terlalu banyak orang semakin ‘tidak malu’ melakukan perkara bertentangan dengan tuntutan agama. Perbuatan yang dilakukan tidak melambangkan kematangan fikiran dan kedudukan yang sepatutnya dijaga. 

Amat malang apabila pemimpin politik, pegawai tinggi kerajaan dan orang ternama terjebak melakukan perbuatan tidak bermoral seperti berzina, rasuah dan salah guna kuasa.

Setelah perbuatan buruk mereka didedahkan kepada umum, baru timbul perasaan malu. Kita dapat lihat bagaimana orang yang dihadapkan ke mahkamah akan cuba mengelak wajah mereka dirakamkan pihak media agar perbuatan salah itu diketahui umum.  

Malah ada si dituduh memohon perintah mahkamah agar media tidak membuat liputan perbicaraan yang melibatkan dirinya. Petugas media dihalang oleh ahli keluarga atau rakan si dituduh daripada menjalankan tugas membuat liputan. Kerapkali perbuatan ini menimbulkan keadaan kecoh dan tegang sehingga memaksa pihak keselamatan campur tangan. 

Alangkah eloknya, jika perasaan malu itu lahir sebelum si dituduh melakukan perbuatan buruk itu. Perasaan mulu dari awal akan mendatangkan kesedaran dan keinsafan agar menghindarkannya daripada perbuatan buruk itu. Tindakan bijak itu dapat menyelamatkan maruah diri daripada tercalar.

No comments:

Post a Comment