Saturday 11 August 2018

Sampah di pusat peranginan terkenal

Pantai dan pusat peranginan terkenal di Kelantan memang hebat. Kecantikannya diakui menyamai seperti pusat tumpuan pelancong di luar negara. Namun, malang sekali aspek kebersihan sering diabaikan.

Dua keadaan mengapa sampah dan kekotoran dibuang merata. Pertamanya, pihak berkuasa tidak menyediakan tong sampah atau tempat membuang sampah yang sepatutnya. Perkara ini amat mendukacitakan. Jika kawasan itu menjadi tumpuan ramai, sepatutnya kemudahan itu disediakan. 

Pengunjung yang datang membawa makanan atau membeli makanan di kawasan berkenaan yang pastinya dibungkus dan dimasukkan ke dalam plastik. Selepas makan, tentu sekali mereka perlu membuang pembungkus makanan itu. Kalau tidak ada tong sampah, maka akan dilonggokkan di satu tempat yang difikirkan sesuai.

Sebab kedua ialah sikap pengunjung. Mereka sudah tahu jika tidak ada tong sampah, sepatutnya sampah itu dibawa balik. Bukan susahpun untuk membawa pembungkus dan sisa makanan masuk ke dalam kereta atau raga motosikal dan kemudian dibuang di tempat sepatutnya.

Kesedaran menjaga kebersihan pusat pelancongan amat penting. Ia bukan sahaja untuk keselesaan pengunjung lain, tetapi juga menjadi imej kepada negara kita. Lebih-lebih lagi imej negeri Kelantan yang mempromosikan dan mengamalkan dasar pemerintahan Islam. Islam mengajar erti kebersihan dan sesungguhnya menjaga kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Usaha mendidik kesedaran melestarikan alam sekitar perlu diterapkan kepada semua individu. Kanak-kanak perlu dididik menjaga kebersihan sejak awal lagi. Mereka perlu diajar agar tidak membuang pembalut gula-gula, pembungkus makanan ringan, bekas aiskrim dan sebagainya merata-rata. 

Kesedaran remaja dan kanak-kanak menjaga alam sekitar sejak awal banyak memberi kesan jangka panjang. Golongan remaja dan kanak-kanak bakal dewasa dan akan terlibat dalam urusan yang lebih besar. Mereka bakal menjadi pemimpin dan ketua dalam pelbagai aktiviti kehidupan pada masa akan datang.

Individu yang telah sebati dalam diri dengan amalan baik tidak akan melakukan perbuatan yang nyata mendatangkan keburukan kepada alam sekitar. Mereka akan merasa bersalah biarpun sekadar hendak membuang pembalut gula-gula merata-rata.   

No comments:

Post a Comment