Saturday 11 August 2018

Al-ghaugha golongan pecah belah rakyat

Terdapat golongan melakukan propaganda untuk menimbulkan suasana tegang hubungan antara kaum dan agama. Mereka tidak memikirkan kesan tindakan yang dilakukan, walaupun boleh mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara. 

Kumpulan ini layak dikategorikan sebagai ektremis atau al-ghaugha. Mereka sengaja mencipta sesuatu tindakan atau suasana bertujuan memecah belahkan perpaduan ummah. Antara cara paling berkesan ini menyebarkan fitnah bertujuan menghilangkan kepercayaan di kalangan rakyat.

Gerakan al-ghaugha biasanya dicetuskan oleh individu atau kumpulan tertentu secara terancang. Namun, dalam kebanyakan situasi gerakan al-ghaugha merebak sebagai satu gerakan massa yang menarik minat rakyat kebanyakan untuk turut serta.   

Sesungguhnya menentang pemimpin amat ditegah dalam ajaran Islam.  Golongan ini tidak peduli perintah Allah SWT walaupun mereka mendakwa berjuang demi agama. Sesiapa yang menentang pemimpin samalah menentang Rasulullah SAW.

Perkara ini dapat difahami daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang taat kepadaku, bererti dia taat kepada Allah, sesiapa yang derhaka kepadaku bermakna dia derhaka kepada Allah; sesiapa yang taat kepada pemerintah bermakna dia taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemerintah bermakna dia derhaka kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaai dan Ibnu Majah).

Dalam konteks undang-undang untuk mencegah al-ghaugha agak sukar kerana mereka tidak kelihatan sebagai penjenayah atau melakukan kesalahan yang membolehkan pihak berkuasa membuat tangkapan, didakwa dan dijatuhi hukuman. Tambahan pula jika mereka bergerak atas dasar politik dan kebebasan rakyat.  

Golongan ini sengaja mencari alasan untuk menyalahkan pihak lain dengan membuat tudingan dan fitnah tanpa memperjelaskan permasalahan sebenar yang berlaku. Mereka pandai menyalahkan, tetapi tidak ada sebarang cadangan atau tindakan membantu untuk menyelesaikan masalah. Sebenarnya, mereka lebih suka masalah berlarutan, bahkan akan mencipta lebih banyak masalah bertujuan tidak ingin melihat negara tidak stabil.

Gerakan itu juga tidak menamakan kumpulan secara khusus kecuali melalui slogan dan nama digelarkan oleh pihak lain. Pelbagai aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam dilakukan kononnya atas prinsip kebebasan dan menuntuk keadilan. Sekiranya perbuatan mereka dihalang, maka dikatakan melanggar hak asasi manusia.

Terdapat al-ghaugha bertujuan menyokong individu dan kumpulan tertentu yang tidak mendapat sokongan umum melalui kaedah biasa. Individu yang dijulang itu didakwa yang terbaik.  

Kemunculan golongan al-ghaugha memberi kesan amat buruk kepada seluruh rakyat. Sejarah pembunuhan Khalifah Uthman Affan berpunca daripada golongan ini. Mereka bertindak menimbulkan kekacauan dan suasana tegang dalam negara. Fitnah dan rasa kebencian ditiup kepada rakyat untuk membenci sesama sendiri.  

Golongan itu menjadikan fitnah untuk menghakis ketaatan dan kepercayaan rakyat kepada pemimpin. Akibat serangan bertali arus dan disokong penduduk yang mudah terpengaruh dengan fitnah, keamanan ummah tidak mampu dipertahankan lagi. 

Khalifah Ali bin Abi Talib yang dilantik sebagai pengganti Khalifah Uthman tidak mampu untuk menghentikan kebencian rakyat kepada pemerintah. Struktur masyarakat hampir tidak terkawal dan huru-hara terjadi di mana-mana. Keadaan pulih hanya setelah Ali mengambil langkah tegas dalam memerangi golongan ini. 

 Al-ghaugha tidak melakukan tindakan ketenteraan dalam mencapai matlamatnya. Mereka muncul secara ekstrem dalam menguasai pemikiran orang ramai agar menyokong perjuangan yang ditetapkan. Api fitnah, khabar angin dan menyalahkan segala yang dilakukan pihak yang ingin dikalahkan dan menghilangkan keyakinan orang ramai. 

Oleh itu kita perlu menolak sebarang bentuk khabar fitnah. Fitnah mendatangkan bahaya yang besar kepada masyarakat. Kesan fitnah mungkin tidak kelihatan secara jelas tetapi membakar secara senyap-senyap seperti api membakar sekam.

Akibat terpengaruh dengan fitnah mendorong orang ramai mempercayai keburukan dilakukan oleh seseorang sedangkan ia tidak pernah melakukannya. Sekiranya yang ditujukan fitnah itu terhadap pemimpin sudah pasti menyebabkan rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadapnya lagi. 

Rakyat yang mudah terpengaruh dengan fitnah disebarkan oleh al-ghaugha tidak akan menyokong pemimpin. Rakyat terus terpengaruh dengan gerakan al-ghaugha dan turut serta melakukan apa-apa tindakan yang mengancam kestabilan dan keselamatan negara. Sesiapa menyokong al-ghaugha maka dirinya juga telah menjadi al-ghaugha.

Dalam menjelaskan kesan buruk al-ghaugha, Khalifah al-Makmun berkata: "Setiap kejahatan dan kezaliman di dunia ini berasal dari al-ghaugha. Merekalah pembunuh para Nabi bahkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Mereka memecahbelahkan para ulama dan merosakkan orang-orang yang hidup dalam limpahan kasih sayang. Mereka adalah pencuri, perompak dan orang-orang yang sombong."

Hakikat ini tidak dapat disangkal berdasarkan kepada masalah yang wujud berkaitan hubungan sesama rakyat dan rakyat dengan pemimpin menjadi kecoh dan tegang apabila ada pihak yang memainkan peranan sebagai al-ghaugha. Al-ghaugha menyelinap dalam segenap peringkat masyarakat.    

Kita mungkin tidak menyedari telah tergolong sebagai al-ghaugha dengan alasan tindakan yang dilakukan bertujuan mendatangkan kebaikan. Ramai yang terlibat dalam kumpulan yang bertentangan dengan kehendak masyarakat umum dengan alasan menegakkan keadilan. Mereka rasa tertindas lantas melakukan sesuatu tindakan yang terkeluar dari lunas-lunas undang-undang. 

Al-ghaugha yang bersatu dalam satu aliran pemikiran, kehendak dan matlamat merebak menjadi satu kuasa sehingga mampu menggugat keselamatan negara. Al-ghaugha yang asalnya sekadar disertai segelintir kecil rakyat boleh bertukar menjadi kumpulan besar dan berkuasa. Banyak kuasa besar runtuh berpunca dari gerakan al-ghaugha secara kecil-kecilan yang tidak diambil tindakan awal mengawalnya.

Al-ghaugha termasuk juga di kalangan golongan pemimpin yang kecewa tidak terus terpilih untuk memimpin atau tidak dicalonkan untuk sesuatu jawatan. Perasaan tidak puas hati dicutuskan dengan melahirkan al-ghaugha yang setia dengannya. Al-ghaugha politik tidak tetap pendirian dalam menyatakan perkara sebenarnya apabila berdepan rasa tidak puashati.  

Ingatlah, meruntuh atau menghancurkan sesuatu yang sedia ada adalah lebih mudah berbanding membina untuk membinanya mengambil masa yang panjang. Kekuatan empayar besar boleh runtuh disebabkan al-ghaugha kerana ia umpama api dalam sekam yang membakar dari dalam. Sejarah kejatuhan empayar besar adalah berpunca daripada gerakan ini mendapat sokongan daripada pihak luar.

Oleh itu berhati-hatilah. Sejarah lalu boleh berulang di negara kita jika perkara ini tidak ditangani segera. Rakyat yang sayangkan negara mesti sentiasa bersangka baik terhadap pemimpin. Sekiranya tidak berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemimpin, tolaklah mereka secara apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan, iaitu melalui pilihan raya.

No comments:

Post a Comment