Thursday 16 August 2018

Fatwa hukum gugur janin

Pengguguran janin atau aborsi telah lama dibincangkan di kalangan ulama. Dalam kitab fikah klasik ia dibincangkan dalam bab ‘jenayah’ kerana kesan perbuatan boleh melibatkan soal pembunuhan bayi dan sebagainya. 

Pengguguran (al-ijhadh) bermaksud menggugurkan janin yang masih belum sempurna penciptaannya sebelum tiba tempoh lahirnya.

Di Malaysia, fatwa yang berkait dengan pengguguran kandungan ini telah dikeluarkan dari masa kesemasa, termasuk oleh oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. 

Tentang pengguguran kerana terdapat ancaman terhadap nyawa ibu, muzakarah tersebut memutuskan seperti berikut: (Muzakarah kali ke-90)

Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga empat puluh hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.  Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit dan boleh membahayakan nyawa ibu.

Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiup roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa atas sebab kecacatan yang teruk.

Selain itu muzakarah tersebut juga juga memutuskan hal-hal berikut: (Muzakarah kali ke-90):-

Rogol: Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh keatas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Zina: Menggugurkan kandungan zina adalah haram dalam semua keadaan kecuali mengekalkan kandungan akan memudaratkan nyawa ibu.

Orang Kurang Upaya: OKU (ujian akal di bawah paras 80) harus menggugurkan kandungan yang berusia kurang daripada 120 hari. Haram menggugurkan kandungan yang berusia lebih daripada 120 kecuali jika memudaratkan nyawa ibu.

Apa yang jelas daripada fatwa-fatwa yang diberikan, keharusan pengguguran kandungan dalam usia lebih daripada 120 bergantung sepenuhnya kepada soal ancaman terhadap keselamatan nyawa ibu.

Semuanya ini berasaskan kepada teori maslahah dan mafsadah di atas. Adapun pengguguran pada peringkat sebelum itu maka ianya boleh dilakukan atas sebab-sebab lain juga, kerana kewujudan kandungan berkenaan belum mencapai tahap yang diberikan perlindungan sepenuhnya oleh Syarak.

No comments:

Post a Comment