Thursday 16 August 2018

Perbuatan zina timbulkan banyak masalah

Islam adalah cara hidup yang sempurna. Syariat Islam memberi panduan hidup yang sesuai dengan keperluan tabie manusia. Hal ini termasuklah berkaitan dengan bentuk hubungan lelaki dan perempuan.

Sesungguhnya, Islam telah menetapkan cara terbaik baik bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup mengikut keinginan dan keperluan sebenar, yang membawa kebaikan dan mengelak perkara buruk terutamanya terhadap perempuan.

Secara tabie, lelaki dan perempuan saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks. Malah Allah mencipta alam ini secara berpasang-pasang, saling melengkap antara satu sama lain.

Firman Allah bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah mencipta pasangan-pasangan semuanya baik dari apa-apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang mereka belum ketahui.” (Surah Yasin, ayat 36). 

Sememangnya Allah menjadikan manusia berpasangan dengan rahmat-Nya. Namun hubungan itu perlu dilangsungkan mengikut peraturan dan hubungan yang dibenarkan. Manusia perlu sedar bahawa kehidupan di dunia sebagai hamba-Nya perlu mematuhi apa yang diperintahkan. 

Sesungguhnya, Allah mencipta manusia bertujuan untuk menyembah dan beribadat kepda-Nya. Sebagai imbalan, setiap apa yang dilakukan akan diberi pembalasan di akhirat nanti. Justeru, apa-apa yang ditetapkan oleh Allah tidak boleh diingkari, termasuklah dalam bentuk hubungan lelaki dan perempuan.

Islam menetapkan perkahwinan merupakan hubungan yang halal bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup berpasangan. Perasaan kasih sayang, kegembiraan dan rasa tanggungjawab adalah pengikat kepada hubungan itu.

Firman Allah bermaksud: “Dan antara tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu, agar kamu cenderung dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21).

Pasangan yang memilih memenuhi tuntutan lahiriah dan batiniah dalam hubungan lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan, melakukan kesalahan yang bertentangan dengan normal kehidupan manusia. 

Sebenarnya, istilah ikatan perkahwinan bukan sahaja wujud dalam agama Islam, bahkan dalam semua ajaran agama lain. Hal ini jelas membezakan antara manusia dengan haiwan berkaitan hubungan berlainan jantina.

Hubungan seks melibatkan pasangan yang tiada ikatan perkahwinan dinamakan zina. Perbuatan zina diharamkan kerana termasuk perbuatan keji melanggar ketetapan agama. 

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Israk, ayat 32).

Al-Qurtubi ketika membuat tafsiran mengenai ayat ini menyebut: “Para ulama berpendapat, kalimah “Dan janganlah kamu mendekati zina” adalah lebih bermakna berbanding “Janganlah kamu berzina”, kerana maksudnya ialah “Jangan sekali-kali hampiri zina”.

Ini bermakna ditegah melakukan sebarang perbuatan yang boleh membawa kepada zina, seperti berdua-duaan lelaki dan perempuan, bersentuh-sentuhan, pandangan berahi, pergaulan bebas dan mengeluarkan kata-kata yang membangkitkan berahi. Perbuatan menonton bahan-bahan lucah juga termasuk dalam mendekati zina. 

No comments:

Post a Comment