Sunday, 12 August 2018

BUKIT PANAU DESTINASI REKREASI PENDAKIAN


Aktiviti pendakian bukit semakin mendapat sambutan. Kata orang Kelantan rukah bukit atau panjat bukit. Banyak orang mula jatuh cinta dengan aktiviti mendaki bukit. Pendakian bukit yang berketinggian antara 100 hingga 500 meter menjadi pilihan kerana tidak memerlukan kekuatan fizikal yang ekstrem. Semua peringkat umur boleh melakukan aktiviti mendaki bukit yang kini dianggap aktiviti berkeluarga. 

Antara bukit yang menjadi pilihan di Kelantan ialah Bukit Panau. Bukit Panau terletak di antara Pasir Mas dan Tanah Merah. Kedudukan Bukit Panai berhampiran jalan utama itu memudahkan ia dilihat dan dikunjungi. Apatah lagi ia bukit tunggal di kawasan itu. 

Bukit Panau sebenarnya terletak di dalam jajahan Pasir Mas. Namun, ramai orang menyangka bukit itu terletak di dalam jajahan Tanah Merah kerana berhampiran bukit itu terdapat sebuah kampung yang dikenali Kampung Bukit Panau yang sememangnya berada dalam jajahan Tanah Merah. Sebut sahaja Bukit Panau, maka tergambar Tanah Marah. Malah, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau terletak dalam Parlimen Tanah Merah.  

Untuk mendaki Bukit Panau yang berketinggian 255 meter dari aras laut itu tidak sukar kerana terdapat trek bersimen bercampur tar yang digunakan oleh syarikat telekomunikasi untuk menyelenggara menara pemancar. Bagaimanapun, bagi yang ingin cabaran pendakian laluan hutan boleh memilih beberapa laluan yang jarang digunakan, kecuali oleh pendaki tertentu.

Pendakian ke puncak Bukit Panau mengambil masa antara 30 minit sehingga sejam mengikut kelajuan dan kemampuan fizikal pendaki.

Pemandangan dari puncak Bukit Panau amat menarik dengan berlatar belakang perkampungan sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah, serta Kota Bharu dan mampu sampai ke Bachok dan Machang. Paling menarik ialah pemandangan Sungai Kelantan yang mengalir dari selatan ke utara, selari dengan Jalan Pasir Mas -  Tanah Merah.

Mereka yang ingin mendaki Bukit Panau dinasihatkan bermula awal pagi kerana untuk mengelak panas matahari. Di puncak Bukit Panau dianggap bukit botak. Sedikit sahaja kawasan yang ada lindungan teduh pokok. Sebab itu, berada di puncak Bukit Panau membolehkan pengunjung melihat sekeliling dengan mudah tanpa terlindung penglihatan.

Namun, tidak ramai mengetahui di puncak Bukit Panau itu juga menjadi tempat tapak berlepas untuk sukan paragliding. Tapak berlepas di puncak Bukit Panau itu mula diperkenalkan sebagai tempat aktiviti paragliding sejak 2008. Dengan ketinggian tapak berlepas 255 meter dari paras laut cukup untuk acara bertaraf dunia.  

Aktiviti paragliding di Bukit Panau membuka peluang untuk orang ramai menyertai aktiviti rekreasi udara. Aktiviti paragliding bukan sahaja satu sukan, bahkan mampu dijadikan satu kerjaya kepada mereka yang serius melakukannya.



No comments:

Post a Comment