Thursday 16 August 2018

Hanya korban ikhlas diterima

Tidak semua korban akan diterima Allah. Penerimaan korban bergantung kepada keikhlasan dan ketakwaan melaksanakan korban itu. Sejarah awal amalan korban sebagai satu bukti ketakwaan kepada Allah berlaku ketika menentukan hak memilih calon isteri di antara Habil dan Qabil.

Pasangan Adam dan Hawa memperolehi zuriat secara berpasang-pasang, lelaki dan perempuan setiap kali Hawa melahirkan anak. Antara pasangan itu ialah Habil dilahirkan kembar dengan Labuda dan Qabil bersama kembarnya Iqlima.

Apabila dewasa mereka dinikahkan dengan adik beradik, tetapi bukan dengan kembar masing-masing. Adam menentukan Qabil berkahwin dengan Labuda dan Habil dengan Iqlima. Bagaimanapun Qabil membantah kerana Labuda tidak cantik. Dia ingin mengahwini kembarnya sendiri Iqlima yang cantik rupayan.

Kedegilan Qabil menyebabkan Adam buntu fikiran. Maka Allah memerintahkan agar penentuan siapa layak mengahwini Iqlima dilakukan dengan penyediaan korban kepada Allah. Siapa yang diterima korbannya oleh Allah, dialah layak menjadi pasangan Iqlima.

Peraturan tersebut diterima oleh Habil dan Qabil. Mereka menyediakan korban mengikut apa yang dimiliki masing-masing. 

Habil yang menjadi penternak telah menyediakan korban seekor kibas yang paling baik dan gemuk daripada hasil ternaknanya. Kibas itulah paling disayanginya.

Manakala Qabil pula menyediakan gandum sebagai korban kepada dirinya seorang petani. Tetapi, Qabil memilih gandum yang telah busuk dan tidak lagi sesuai untuk dimakan. Gandum yang baik disimpan untuk dimakan.

Kedua-dua korban itu diletakkan di atas puncak gunung. Mana-mana korban yang diterima oleh Allah akan dimakan oleh sejenis api putih dari langit, manakala korban ditolak akan dimakan oleh burung dan binatang. Korban Habil telah diterima oleh Allah. 

Peristiwa tersebut diceritakan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: “Dan bacalah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah mengenai dua orang anak (Habil dan Qabil) yang berlaku sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan suatu persembahan korban. Lalu diterima korban salah seorang daripadanya (Habil) dan ditolak korban yang lain (Qabil), berkata (Qabil): “Demi sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. Jawab (Habil): “Hanya Allah menerima (korban) dari orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27).

Korban Habil diterima kerana keikhlasannya melakukan korban itu. Dia memilih yang terbaik dan apa yang disayanginya. Sedangkan Qabil memilih apa yang tidak lagi diperlukan olehnya. Dia awal-awal lagi tidak ikhlas dan menyimpan sikap bongkak tetap tidak mahu menerima Labuda.

Sikap Habil menepati makasud korban yang sebenarnya. Dia sanggup mengorbankan apa yang disayangi demi untuk menzahirkan keikhlasannya. Habil menyediakan korban yang baik bukan untuk menandingi korban Qabil bagi memperisterikan Iqlima. Bahkan Habil sanggup menerima siapa sahaja pasangan untuknya, termasuklah Labuda yang hodoh.

No comments:

Post a Comment