Thursday 16 August 2018

Semak dahulu sebelum sebar

Awas! Jangan mudah percaya berita yang diterima melalui media sosial. Mungkin anda menerima pesanan dalam media sosial yang meminta agar diteruskan pula kandungan itu kepada kawan-kawan, sedangkan anda tidak pasti akan kebenaran kandungan berita itu.

Penyebaran berita melalui media sosial kini menjadi pilihan banyak pihak yang mengambil kesempatan perkhidmatan yang dianggap murah, cepat, meluas dan mudah. Golongan yang menggunakan telefon pintar dan gajet lain tidak terhad kepada orang dewasa sahaja, bahkan remaja dan pelajar turut terdedah dengan kemudahan teknologi komunikasi pilihan ramai itu.

Penyebaran berita melalui media sosial mudah mendapat perhatian kerana capaiannya meluas. Berita itu mudah dibaca dan jika perlu, terus disebarkan kepada penerima lain.

Kelebihan ini sering disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita berbaur fitnah, perkauman dan menyentuh sensitiviti agama. Berita seumpama itu mudah mendapat perhatian orang ramai untuk disebarkan kepada penerima lain.

Berita yang berbentuk tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seeorang, keluarga atau kumpulan dipanggil fitnah. Perkataan fitnah berasal dari perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.

Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu. Natijah akibat perbuatan tersebut boleh tercetusnya persengketaan antara pihak yang dilibatkan dalam fitnah itu.   

Berita fitnah mendatangkan kesan amat buruk terutama dalam soal penting dan sensitif melibatkan individu berkedudukan, keselamatan negara dan soal agama.  Di negara kita yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dan agama anutan, isu-isu berkaitan bangsa dan agama amat sensitif.

Banyak kerajaan yang tumbang disebabkan fitnah yang berleluasa. Kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 adalah berpunca daripada fitnah. Pihak musuh menggunakan kaedah fitnah untuk melemahkan perpaduan sesama pemimpin, dan dalam keadaan itu maka dengan mudahnya tentera Portugis menyerang dan menakluk kerajaan yang dianggap paling kuat ketika itu. 

Justeru itu, masyarakat perlu dididik agar memastikan kebenaran sesuatu berita agar tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Setiap berita yang diterima perlu diperhalusi agar tidak terlibat dalam kancah berita berunsur fitnah. 

Sebarang berita yang diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.     

Banyak pihak yang turut terlibat menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan berkaitannya. Mereka tidak memperoleh apa-apa keuntungan jika menyebarkan kembali berita itu, dan tidak juga menanggung kerugian jika tidak melakukannya.

Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah telah menjadi kebiasaan, banyak orang yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Ada yang cepat-cepat menyebarkan berita yang diterima untuk membuktikan dia lebih awal mengetahui perkara itu berbanding rakan-rakan lain.

Kepuasan yang diharapkan itu sebenar sekadar satu perbuatan merugikan diri sendiri dan mungkin dikenakan tindakan undang-undang. Inilah dikatakan suka membawa duka akibat tidak memahami kesannya di sisi undang-undang.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang diburuk-burukkan itu.

Mungkin banyak orang menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar suka-suka dan untuk menunjukkan tanda prihatin terhadap sesuatu perkara. Suka-suka itu boleh menyebabkan duka dan kerugian yang bukan sedikit kesannya.  

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat bahawa berita itu belum sahih telah hilang dan kemudian disebarkan seperti satu berita benar.

Malah, ada yang menyebarkan berita fitnah dalam bentuk pertanyaan. Kononnya, berita itu disebarkan untuk mendapat kepastian daripada pihak lain. Sedangkan hakikat sebenarnya, pertanyaan itu bukan ditujukan kepada pihak yang boleh memberi jawapan.

Bodohnya orang yang bertanya bukan pada yang tahu akan jawapannya. Lebih malang lagi, orang yang tidak tahu jawapan sebenar itu, pura-pura pula mengetahui mengenai perkara itu secara agak-agak.

Soalan itu sebenarnya berbentuk provokasi bertujuan menimbulkan unsur keresahan dan inginkan kepastian daripada pihak lain pula. Lantas, berita itu disebarkan kepada orang lain pula agar mendapat jawapan mengenainya. 

Kita mempunyai pihak berkuasa berkaitan sesuatu bidang untuk mengendalikannya. Pihak berkenaan mempunyai kepakaran dan maklumat yang lengkap untuk dijadikan tanda rujuk yang tepat. Mereka juga boleh menggunakan undang-undang untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan daripada mana sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita tersebut.  

Jangan terlalu mudah melatah dan merasa seperti satu tanggungjawab untuk menyebarkan berita yang belum pasti kebenarannya. Banyak orang mudah terpengaruh mempercayai berita yang dikaitkan dengan kepentingan agama. 

Banyak yang berpendapat tindakan menyebarkan berita sedemikian sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad untuk agama. Tindakan itu dianggap satu pahala dan kebajikan untuk kepentingan semua.

Sebenarnya, menyebarkan berita yang tidak pasti ditegah sama sekali dalam agama kita. Orang yang menyebarkan fitnah melakukan dosa besar yang mengurangkan pahala yang dikumpulkan sebelum itu. 

Kita tidak sepatutnya terperangkap dengan agenda buruk yang dirancang oleh pihak tidak bertanggungjawab. Dengan satu berita yang mulanya dihantar kepada beberapa orang, boleh tersebar secara meluas kepada berpuluh-puluh ribu penerima dalam masa yang singkat. 

Syaitan amat sukakan suasana yang dipenuhi dengan unsur-unsur fitnah yang akan memecahbelahkan manusia sehingga berlaku malapetaka besar. Sesiapa yang menyebarkan fitnah adalah rakan kepada syaitan. 

Mereka yang terlibat sama menyebarkan fitnah itu menanggung satu kesalahan yang besar kepada seluruh rakyat. Alangkah ruginya, berita yang disebarkan itu turut mendatangkan kerugikan kepada diri sendiri, keluarga, agama dan negara.

No comments:

Post a Comment