Sunday 19 August 2018

Ada pihak ingin lemahkan Islam di Malaysia

Umum mengetahui, bilangan ahli parlimen bukan Islam di blok kerajaan lebih ramai berbanding beragama Islam. Keadaan ini memberi petanda kedudukan kepentingan Islam akan kurang diberi perhatian. Suara ahli parlimen Islam di blok kerajaan tidak lagi mendapat majoriti.

Kita sedar, jika sesuatu perkara yang berkaitan kepentingan Islam dibawa ke sidang parlimen, sudah tentu ahli parlimen Islam di blok pembangkang juga akan mengundi menyokong. Namun, sesuatu yang dibawa oleh kerajaan akan mengambil kira persetujuan di peringkat kerajaan terlebih dahulu. Jadi, bagaimana hendak mendapat sokongan di peringkat kerajaan jika majoriti ahli parlimennya terdiri bukan Islam?

Di sinilah perlunya kesedaran seluruh ahli parlimen Islam dan umat Islam untuk memperjuangkan kedudukan Islam. Kita tidak perlu bimbang tentang apa yang kerajaan akan buat kerana tidak akan ada sesuatu perkara buruk yang ketara akan dilakukan. Ini kerana, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Sebaliknya, umat Islam perlu memikirkan apakah tindakan yang perlu dilakukan dan muhasabah diri apakah yang telah dilakukan. Kelemahan dan kecelaruan Islam bukan disebabkan usaha bukan Islam, sebaliknya kelemahan umat Islam sendiri.

Sikap mementingkan kelompok, berselisish dalam soal kecil, hilang jati diri dan lemahnya takwa menjadi punca Islam berdepan situasi sekarang. Islam di Malaysia tidak akan lemah jika seluruh umatnya bersatu dalam soal kepentingan Islam. Jangan tunduk dan melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kesatuan Islam lemah.

Namun persaudaraan dalam Islam sekadar slogan. Orang Islam berpecah dan lemah kerana ingin berebut kepentingan sendiri. Kelemahan sendiri tidak diaudit, sebaliknya kelemahan orang lain yang diperbesar-besarkan.

Akibatnya umat Islam dalam keadaan lemah dan berpecah. Mudahlah pihak bukan Islam mengambil kesempatan. Maka itu, pendokong LGBT, sekular, liberal dan missionari Kristian budah menjalankan agenda mereka. Dalam keadaan umat Islam sendiri lemah, apa yang mampu dilakukan untuk mempertahankan Islam.

Ideologi dan agenda Islam bukan sekadar menanti kuasa politik untuk melaksanakannya walaupun tidak dinafikan kuasa politik amat penting. Mengapa di pihak bukan Islam boleh mara ke hadapan sedangkan mereka tidak mendapat kedudukan istimewaan dalam Perlembagaan Persekutuan bahkan terdapat sekatan untuk mereka mengembangkan agama mereka kepada orang Islam.

Lalu kita perlu muhasabah diri. Pernahkah kita betul-betul berjuang untuk Islam? Atau adakah kita berjuang atas nama parti dan pemimpin tertentu? Apabila pemimpin telah meninggal dunia atau bertukar parti, lalu kita tidak lagi bersama parti yang didokong selama ini untuk memperjuangkan Islam.

Atau jika bertukar parti atau mengikut pemimpin tertentu kerana memperjuangkan Islam, adakah kita sedar keupayaan parti atau pemimpin itu berjuang untuk Islam? Atau adakah perjuangan selama ini semata-mata untuk kedudukan dan harta?

Sekali lagi ditegaskan, kita tidak boleh marah atau bertindak ketelaluan untuk mengelak fahaman pihak lain. Setiap pergerakan dan agama memiliki ideologi dan agenda mereka yang tersendiri dan cuba mengamalkan serta menyebarkan ideologi pergerakan dan agama mereka.

Memang ada halangan dari segi Perlembagaan untuk mereka melakukan perbuatan itu, tetapi umat Islam tidak boleh sekadar mengharapkan kedudukan istimewa itu. Disebabkan peruntukan Perlembagaan itu majoriti Muslim masih berada di zon selesa mengharapkan undang-undang untuk melindungi akidah mereka.

Agenda Islam yang paling utama adalah tauhid dan bukannya sekadar hukum-hakam semata-mata. Keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama, amanah dan keamanan adalah nilai Islam.

Kita perlu lebih risau Muslim yang membentuk 61% penduduk di Malaysia masih berada di zon selesa dan beralasan. Malah, pernahkah kita mengaudit kekuatan pegangan akidah di kalangan Islam di Malaysia dalam kesediaan untuk mempertahankan Islam.

Apa yang kita lihat sekarang ini nilai-nilai sebagai seorang muslim semakin terhakis. Ramai hari ini muslim hanya pada nama sahaja dan gagal untuk mengamalkan kehidupan sebagai muslim.  

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan semoga hati kita semua tergerak untuk sama-sama menyumbang baik menerusi masa, tenaga, bakat dan harta untuk menyebarkan ideologi dan agenda Islam.

No comments:

Post a Comment