Sunday 19 August 2018

Sejarah Hari Pahlawan

Hari Pahlawan merupakan satu hari khusus untuk memperingati jasa pahlawan mempertahankan tanah air. Hari Pahlawan di Malaysia disambut setiap 31 Julai setiap tahun. Pelbagai acara diadakan sempena Hari Pahlawan ini bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka.   

Acara sempena Hari Pahlawan melibatkan acara letak kalungan bunga oleh pemimpin negara iaitu Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri serta ketua pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ketiga-tiga cabangnya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertafakur selama seminit di hadapan Tugu Negara berhampiran Panggung Aniversari, Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

Acara tradisi ketenteraan lain yang diadakan ialah tiupan “Last Post” dan “Rouse” serta deklamasi sajak juga dilakukan di hadapan Tugu Negara. Manakala acara-acara keagamaan seperti majlis bacaan doa selamat, Yasin, tahlil dan sebagainya juga diadakan di Masjid Negara.

Bagaimanapun, mulai tahun 2010 ini, kerajaan telah memutuskan lokasi sambutan dilakukan di dataran yang sesuai. Sebagai permulaan, Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi sambutan. 

Pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 21 hingga 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera.

Ia telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.

Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.

Bagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.

Majlis Fatwa Malaysia telah mewartakan dua fatwa mengenai Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan "Last Post", bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan "Rouse" yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Manakala bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

No comments:

Post a Comment