Wednesday 24 October 2018

MELAMPAU BUKAN RUPA ISLAM

Islam adalah agama akhlak yang mengajar tentang kasih sayang, kesetiaan, tolak ansur, tolong menolong dan nilai-nilai murni lain. 

Malangnya, wajah umat Islam bukan menunjukkan demikian. Orang lebih melihat dunia Islam dan masyarakatnya sentiasa dalam keadaan saling bermusuhan, tikam belakang, mementingkan diri dan ekstrem. Maka itu, imej dan kedudukan Islam dipandang serong.

Justeru, orang Islam perlu menginsafi peranan serta amanah yang mereka pikul dalam soal mencerminkan Islam dengan sebenar-benarnya.

Sehubungan dengan itu, peristiwa yang membawa kepada penurunan ayat 110 Surah al-Isra amat sesuai untuk dijadikan bahan renungan. Menjadi kebiasaan Rasulullah membaca dengan kuat apabila bersembahyang dengan para sahabat Baginda. Perbuatan itu bagaimanapun tidak disenangi oleh masyarakat bukan Islam sehingga sebahagian mereka mencerca al-Quran, dan Tuhan yang menurunkannya.

Lalu ayat di atas diturunkan: “...dan janganlah membaca terlalu kuat dalam sembahyangmu dan janganlah pula terlalu perlahan; Carilah jalan tengah antara keduanya.”

Teguran yang terkandung dalam ayat ini mencerminkan sifat agama Islam itu sendiri yang tegas mempertahankan hak-hak sesiapa sahaja termasuk orang- orang bukan Islam. Walau dalam mengerjakan ibadat kepada Allah sekalipun hak-hak itu tidak boleh diabaikan.

Perbuatan membaca al-Quran dengan kuat adalah pencerobohan terhadap hak orang bukan Islam yang mungkin terganggu dengan perbuatan itu. Ia juga memberikan akibat sampingan yang tidak baik apabila al-Quran dan Allah sendiri akhirnya menjadi bahan cercaan.

Nampaknya banyak pihak khususnya pada hari ini terlepas pandang terhadap teguran ini dan pengajaran yang sepatutnya diambil daripadanya.

Kita mesti faham batasan perbuatan melampau batas kerana ia mendatangkan fitnah kepada agama Islam yang maha suci. Rasulullah pernah memarahi seorang sahabat yang membaca surah yang panjang ketika mengimamkan sembahyang kerana perbuatan itu dikhuatiri mendatangkan fitnah terhadap agama.

Jangan kita fikir perbuatan melampau itu terhad kepada perbuatan bersifat militan semata-mata. Perbuatan yang bersifat militan boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Perbuatan melampau dalam kehidupan dan amalan beragama boleh menghilangkan rasa hormat dan kagum kepada agama.

Pokok pangkal persoalan ini ialah kerosakan ilmu dan amal. Amalan yang salah, menyeleweng, dan melampau berpunca daripada kefahaman yang salah, menyeleweng, dan melampau. Amalan yang betul zahir dan batin tidak boleh tidak mesti berpunca daripada ilmu dan kefahaman yang benar terhadap zahir dan batin agama.

Kita nyatakan ‘zahir’ dan ‘batin’ kerana keelokan dan kesempurnaan penghayatan agama bergantung kepada keseimbangan kedua-dua unsur ini. Perbuatan melampau berlaku apabila unsur zahir diberatkan dan unsur batin dikesampingkan, ataupun sebaliknya.

Kefahaman yang sebenar merujuk kepada kefahaman terhadap agama secara keseluruhan, merangkumi yang zahir dan batin.   

Perbuatan yang kononnya bersifat keagamaan tetapi mendatangkan keluh-kesah, fitnah, kesusahan, dan kebencian masyarakat pastinya bukan datang daripada kefahaman sebenar terhadap agama kerana tiada kelihatan kebaikannya sebagai natijahnya. Yang kelihatan sebaliknya ialah kerosakan.

Apabila institusi-institusi agama dipimpin oleh orang-orang yang tiada kelayakan memimpin, yang kefahaman dan kelakuannya masih pada tahap kedusunan, kesucian dan keindahan agama Islam akan tercemar.

Pasti tidak akan kelihatan sifat kesejagatan risalah Islam itu ditampilkan. Mereka adalah ibarat cermin-cermin yang kotor dan berdebu. Mereka tidak boleh diharapkan bagi menayangkan rupa sebenar agama Islam.

No comments:

Post a Comment