Wednesday 24 October 2018

PENTING TOLERANSI BERKASIH SAYANG


Ajaran Islam penuh dengan toleransi sesuai dengan komitmen untuk melahirkan kehidupan yang aman, sejahtera dan selamat, bukan saja kepada umat Islam, bahkan kepada manusia sejagat. 

Sesungguhnya, sifat ganas dan melampau yang ditonjolkan oleh segelintir umat Islam sekarang, bukan dari ajaran Islam. Tindakan mengebom tempat awam tidak termasuk istilah peperangan atau jihad yang dibenarkan oleh Islam. Sebarang bentuk kematian dan kemusnahan akibat tindakan itu adalah satu jenayah. 

Individu meletupkan dirinya tidak boleh dianggap syahid, sebaliknya membunuh diri sendiri. Niat baik tidak menghalalkan sesuatu perbuatan yang salah.     

Orang awam tidak terlibat secara langsung dalam usaha memerangi Islam secara kekerasan atau ketenteraan  Oleh itu, orang awam adalah di antara golongan yang diharamkan diperangi atau dibunuh, kecuali mereka ambil serta dalam tindakan kekerasan atau ketenteraan memusuhi Islam.      

Malah, dalam peperangan sekalipun, Islam masih menekankan kepada tindakan sekadar untuk mempertahankan hak dan menegakkan kebenaran. Sebarang tindakan ketenteraan perlu dilakukan pada tahap mencapai matlamat dan bukan melampaui batasan. 

Firman Allah bermaksud: “Berperanglah kamu semua di jalan Allah demi memerangi orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang yang melampau batas.” - (Surah al-Baqarah, ayat 190).

Peperangan tidak semestinya melibatkan kematian, jika ia tidak memerlukan tindakan sehingga tindakan ke tahap itu. Peperangan ketika Rasulullah pembukaan kota Makkah tidak melibatkan kehilangan jiwa, sedangkan tentera Islam mampu melakukan apa saja tindakan termasuk membunuh beramai-ramai. Peristiwa itu jelas membuktikan Islam tidak sukakan pertumpahan darah.

Bahkan, jika terpaksa berpereang, maka peperangan itu perlu diiystiharkan bagi memberi peluang pihak yang ditentang sama ada ingin berperang atau berdamai. Islam lebih pentingkan keamanan dan perdamaian berbanding dengan peperangan. 

Firman Allah bermaksud: “Sekiranya mereka cenderung untuk berdamai, maka cenderunglah ke arah itu, dan berserahlah kepada Allah.” - (Surah al-Anfal, ayat 61).

Dalam menghadapi cabaran umat Islam kini, cara peperangan tidak sesuai untuk dipraktikkan. Kemampuan ketenteraan negara-negara Islam amat lemah jika dibandingkan dengan negara bukan Islam. Bahkan, kebanyakan negara Islam masih bergantung sistem pertahanannya kepada negara bukan Islam. 

Sebaliknya, kita perlu melihat dalam diri sendiri apakah punca kelemahan sebenar yang dihadapi umat Islam. Usaha membina kekuatan dalam diri dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar adalah cara terbaik menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang.

Dr Yusof al-Qardhawi berpendapat jihad yang lebih sesuai bagi umat Islam sekarang ialah memberi penekanan kepada bidang ekonomi, pendidikan, politik dan sosial. Sekiranya kesemua elemen penting ini dapat dikuasai umat Islam, sudah pasti nasib umat Islam akan lebih terbela dan tidak lagi menjadi mangsa kepada kelemahan diri sendiri.

Ramai yang mudah terpanggil dengan seruan jihad dengan alasan ia tindakan paling mulia dan dijanjikan balasan syurga bagi sesiapa mati syahid. Hakikat balasan syurga yang dijanjikan Allah kepada sesiapa mati syahid tidak diragui seperti mana dijelaskan dalam al-Quran dan hadis. Tetapi, apa yang diragui ialah apakah tindakan yang dilakukan itu layak dipanggil jihad.

Kita mudah melabelkan sesuatu perjuangan dengan jihad. Segelintir umat Islam mudah memberi takrif jihad apabila sesuatu yang dilakukan didakwa bersangkutan kepentingan Islam. Malah, ramai mengaitkan jihad apabila sanggup mati di medan perang atau melakukan sesuatu tindakan yang mendedahkan diri kepada bahaya.

Pengertian jihad sebenarnya tidak hanya terikat kepada maksud yang mengerikan; kematian dan kemusnahan. Sebaliknya, jihad membawa maksud yang lebih luas yang membuktikan kesungguhan dan perbuatan yang tegas dalam melakukan sesuatu untuk meningkatkan martabat ummah.

Akibat jihad yang tidak mendalami kehendak agama, orang Islam dipadang sukakan kemusnahan, kekerasan, dahagakan darah, emosional, taksub dan tidak boleh bertolak ansur. Keadaan ini digunakan oleh masuh Islam sebagai senjata memusuhi dan memusnahkan umat Islam melalui tindakbalas yang dianggap mempertahankan hak dan diri. 

Sesungguhnya, kedudukan dan maruah umat Islam lebih dipandang tinggi jika mengamalkan sifat toleransi dan mengutamakan cara hidup yang bersumberkan kepada al-Quran dan hadis. Mudah-mudahan amalan itu dapat memulih maruah Islam dan menarik lebih ramai orang memeluk Islam. Cara itu lebih selamat dan menepati kehendak Islam yang sebenar. 

No comments:

Post a Comment