Berusaha mengubah
kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang
hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna
telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari semalam.
Ketika masih ada
peluang meneruskan kehidupan ini hendaklah direbut peluang untuk mengangkat
darjat di sisi Allah. Peluang kelebihan yang dinikmati hendaklah digunakan
sebaik-baiknya sebelum ia berlalu atau hilang daripada milikan kita.
Rasulullah
memberi peringatan agar merebut kesempatan yang masih ada sebelum datang masa
atau keadaan sebaliknya.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain; masa mudamu
sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa
kayamu sebelum datang masa fakirmu, masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu
dan masa hidupmu sebelum datang kematianmu.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Melalui hijrah
membolehkan seseorang melakukan lebih banyak kebaikan untuk diri sendiri,
keluarga, agama dan bangsa. Allah melipatgandakan kejayaan dan keberkataan
kepada mereka yang sanggup bersusah payah melakukan usaha hijrah.
Firman Allah
bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada
jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi
darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah
at-Taubah, ayat 20).
Sesiapa yang
berusaha mencapai sesuatu yang lebih baik dalam kehidupannya telah melakukan
sebahagian daripada maksud hijrah dan mendapat pahala hijrah jika ia diniatkan
mendapat keredaan Allah. Setiap usaha perlu dilakukan dengan ikhlas semata-mata
kerana Allah.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada
niatnya. Maka sesiapa yang berhijrah semata-mata kepada Allah dan
Rasul-Nya, maka hijrahnya diterima Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang
berhijrah kerana keuntungan duniawi, ia mendapat apa yang dikejarnya, atau
kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya terhenti pada apa yang
diniatkannya,” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam erti kata
lain, umat Islam perlu berubah menuju ke arah matlamat disasarkan, merencana
hala tuju dan meraih wawasan kecemerlangan dalam pelbagai lapangan hidup. Untuk
itu, perubahan paling utama perlu dilakukan terlebih dulu ialah bermula
daripada diri sendiri.
No comments:
Post a Comment