Thursday 28 February 2019

PUTERI SAADONG BUNUH SUAMI?

Puteri Saadong anak kepada Raja Loyor yang memerintah Kelantan Utara berpusat di Kota Jembal. Pada masa sama terdapat sebuah lagi kerajaan iaitu berpusat di Kelantan Selatan dikenali Kerajaan Chinta Wangsa.yang diperintah oleh Cik Siti Wan Kembang, pemerintah wanita ulung dalam sejarah Kesultanan Kelantan.

Memandangkan Cik Siti Wan Kembang tidak mempunyai anak, maka baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat.

Puteri Saadong berkahwin dengan Raja Abdullah dan bersemayam di Kota Mahligai. Namun, kehidupan suami isteri Puteri Saadong dengan Raja Abdullah tidak lama kerana selepas itu Puteri Saadong terpaksa menyerah diri kepada Raja Siam yang terlalu kagum dengan kecantikan Puteri Saadong. 

Tindakan Puteri Saadong itu bertujuan untuk mengelak peperangan lebih teruk antara Kelantan dan Siam akibat keinginan Raja Siam terhadap Puteri Saadong.

Ketika hendak bertolak ke Siam, Puteri Saadong telah berpesan kepada Raja Abdullah agar menunggu kepulangannya semula ke Kota Mahligai. 
 
Sepanjang berada di Siam, Puteri Saadong tidak mudah tunduk pada kehendak dan pujukan Raja Siam mengatur strategi bagi menyelamatkan diri. 

Puteri Saadong menggunakan helah dengan mengatakan tubuhnya tidak boleh disentuh Raja Siam sehingga terpaksa disediakan sebuah istana untuknya bersemayam.

Pada masa sama, Raja Siam diserang penyakit kudis yang sukar diubati. Puteri Saadong berjaya menyembuhkan penyakit Raja Siam dan membuat permintaan supaya dia dihantar balik ke Kelantan.

Namun, sekembalinya ke Kota Mahligai, dia menjadi berang dan marah dengan tindakan Raja Abdullah yang memungkiri janjinya untuk setia menantinya. Raja Abdullah telah berkahwin lain.

Pertelingkahan yang berlaku antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah akhirnya menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah.

Berhubung kemangkatan Raja Abdullah, terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan mengenai punca yang menyebabkan kematian suami Puteri Saadong itu.

Ada pendapat mengatakan wujudnya konspirasi atau pakatan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang sengaja mencetuskan ketegangan di antara suami isteri itu yang seterusnya menyebabkan Puteri Saadong menikam Raja Abdullah. Kematian Raja Abdullah seolah-olah dirancang supaya takhta raja tersebut dapat dirampas.

Ada pendapat lain pula menafikan Puteri Saadong menikam suaminya dengan menggunakan cucuk sanggul akibat mengikut perasaan marah dan cemburu kerana dia disifatkan sebagai seorang yang mempunyai pegangan agama dan berperibadi baik, mana mungkin dia sanggup membunuh suaminya. Jadi, kematian Raja Abdullah dikatakan tiada kaitan dengan Puteri Saadong.

Pendapat lain pula mengatakan Puteri Saadong tanpa sengaja tertikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya yang akhirnya menyebabkan suaminya terbunuh.

Raja Abdullah dimakamkan di tempat yang kini dikenali Padang Halban.

No comments:

Post a Comment