Negara boleh huru
hara dan runtuh jika rakyat mengamalkan budaya fitnah. Banyak sejarah
keruntuhan negara dan kerajaan adalah berpunca daripada fitnah.
Banyak individu
yang menyebar berita yang diyakininya sebagai benar dan beranggapan dia telah
melakukan kebaikan. Hakikatnya, itu sekadar satu anggapan dan tidak dapat
dibuktikan kebenarannya.
Kita hanya
dikehendaki menyebarkan sesuatu berita mengenai perkara yang kita pasti atau
mengetahuinya dengan jelas. Jika maklumat kita tidak tahu apa-apa, melainkan
apa yang diterima itu sahaja, maka tidak patut ia disebarkan.
Tindakan
menyebarkan berita yang tidak pasti akan membawa diri ke dalam kancah fitnah.
Kebaikan yang ingin diperoleh bertukar menjadi perbuatan dosa besar. Pihak yang
tidak bertanggungjawab sentiasa mencari peluang untuk mencetuskan fenomena
berita fitnah dianggap sebagai satu yang benar.
Apabila
penyebaran fitnah berlaku secara berleluasa bermakna kehidupan masyarakat
berada di ambang kemusnahan. Masing-masing keliru dan sukar untuk membuat
pilihan yang mana berada di pihak benar.
Pihak yang
menyebarkan fitnah itu merasakan dirinya paling baik. Hakikatnya, perbuatan itu
melambangkan peribadi yang keji dan jahat. Jika perbuatan itu telah sebati
dalam diri, hati tidak akan merasakan kemanisan iman ketika melakukan
kebaikan. Maka,
hati menjadi lebih cenderung untuk melakukan perbuatan dosa.
No comments:
Post a Comment