Allah
mengurniakan pelbagai nikmat makanan dan minuman kepada manusia. Hanya sedikit
sahaja larangan berkaitan makanan yang ditetapkan agar dipatuhi. Peraturan itu
untuk kebaikan umat Islam sendiri. Sesuatu yang dilarang adalah untuk mengelak
kesan yang buruk akibatnya.
Ini jelas
bertepatan dengan Islam sebagai agama yang lengkap dan sempurna dalam segenap
hal bersangkutan kehidupan manusia. Ajaran Islam tidak terhad hanya kepada soal
ibadah khusus yang perlu dipatuhi penganutnya. Sebaliknya Islam memberi garis
panduan dalam segenap aspek kehidupan.
Setiap apa yang
ditetapkan adalah jelas. Sabda Rasulullah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
yang bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu pun
jelas.”
Soal halal dan
haram makanan amat penting diketahui kerana dilakukan setiap hari. Orang Islam
tidak boleh makan semua jenis makanan yang boleh dimakan oleh manusia. Hanya
makanan yang memberi kebaikan dibenarkan dimakan.
Manakala makanan
yang mendatangkan keburukan secara fizikal dan rohani adalah ditegah sama
sekali, walaupun naluri manusia terdorong inginkannya. Individu yang lemah
imannya mudah terdorong untuk melakukan perbuatan yang ditegah.
Sesungguhnya
makanan bukan sekadar dapat memberi rasa kenyang dan zat pemakanan kepada
badan, tetapi juga mempengaruhi dan membentuk sikap pemakannya. Sebab itu,
amatlah penting bagi seseorang memastikan dirinya tidak mengambil sebarang
unsur makanan yang diharamkan.
Secara asas,
segala jenis makanan yang tidak membahayakan diri pemakannya, maka makanan itu
halal dimakan. Kita dibenarkan memakan atau mencampurkan pelbagai jenis bahan
untuk menghasilkan jenis makanan yang diingini.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa
yang kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis
riwayat Muslim).
Kebersihan yang
dijelaskan oleh Rasulullah bukan sekadar bersih secara fizikal, tetapi juga
bersih cara memperolehnya. Islam menegah mendapatkan makanan dari hasil
pendapatan secara haram seperti menipu, mencuri, hasil riba, rasuah dan
penindasan.
Setiap orang
perlu berusaha mencari pendapatan dari sumber yang halal. Bersyukurlah dengan
nikmat yang dikurniakan Allah walaupun sedikit. Mencari keredaan Allah adalah
lebih penting berbanding mendapat kemewahan secara yang salah.
No comments:
Post a Comment