Monday 25 March 2019

NIAT IKHLAS JAUHI SIFAT SOMBONG

Amat penting melakukan sesuatu dengan niat yang ikhlas. Jauhkan diri daripada terjebak dengan niat melakukan sesuatu disebabkan rasa sombong, riak dan hendak berbangga. Perbuatan hanya akan merosakakan kebaikan yang sepatutnya diperoleh daripada perbuatan itu.

Mengapakan kita merosakkan amalan baik dengan hanya satu niat atau yang ditegah? Betapa ruginya sesiapa yang melakukan kebaikan tetapi tersimpan di dalam hatinya perasaan buruk. Dia bukan sahaja tidak mendapat balasan kebaikan, bahkan perbuatannya itu mengundang dosa disebabkan niat yang dipesongkan itu.

Sesiapa tersimpan perasaan riak kerana melakukan sesuatu bermakna seperti dia merasakan apa yang dilakukan itu adalah kebolehannya semata-mata. Dia lupa bahawa kemampuan itu adalah kurniaan Allah. 

Pernah Rasulullah menganggap perbuatan riak sebagai sebahagian daripada syirik yang tersembunyi kepada Allah. Ini berdasarkan sesiapa yang riak, secara automatik dia akan lupa kepada Tuhannya. Serentak dengan itu, setelah perasaan riak menguasai diri, dia pasti berani menentang hukum-hukum Allah. 

Inilah yang berlaku terhadap Qarun.  Sebenarnya Qarun adalah pengikut setia Nabi Musa dan antara orang yang paling beriman. Namun, setelah dia mendapat kekayaan dan timbul perasaan riak, sombong dan lupa diri, Qarun mula ingkar kepada perintah Allah. Dia merasakan kekayaan yang diperoleh adalah hasil kebolehan dan kepandaian dirinya sendiri.

Justeru, hindarkan diri pada menyimpan niat melakukan sesuatu dengan perasaan riak. Sedarlah dia kita tidak mempunyai apa-apa kekuatan, melainkan apa yang dipinjamkan sebentar oleh Allah.

Selain itu apa yang diniatkan hendaklah untuk tujuan kebaikan. Islam menegah sebarang perbuatan mendatangkan keburukan. Perbuatan buruk yang diniatkan baik tetap tidak akan diterima sebagai baik. 

Ini berlainan jika melakukan perbuatan buruk disebabkan terpaksa atau darurat. Hendaklah apa yang dilakukan itu diniat untuk kebaikan. Perbuatan itu dilakukan bukan kerelaaan atau sekadar suka-suka. Perbuatan buruk itu dilakukan pada tahap paling minimun.

Jika benar diniatkan untuk tujuan kebaikan, lakukan dengan bersungguh-sungguh. Setiap apa yang dilakukan pada hari ini diharapkan lebih baik daripada hari sebelumnya. Manakala hari esoknya akan lebih baik dari hari ini. Lakukan tugasan seperti itulah peluang terakhir dapat melakukannya. 

Sungguhnya Allah mencintai sesiapa yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh. Kejayaan dan kesempurnaan bergantung kepada kesungguhan dan mengikut aturannya.

Niat yang ikhlas bukan boleh dipaksa-paksa. Keikhlasan turut diikuti dengan rasa bertanggungjawab atas setiap apa yang dilakukan. Keikhlasan tidak lahir jika tiada perasaan tanggungjawab terhadap sesuatu perkara yang dilakukan.

Hasil kerja yang diniatkan hendaklah untuk dikongsikan dengan orang lain. Hidup manusia menuju kehancuran jika tidak mahu berkongsi kebaikan dengan orang lain. Sikap bongkak dan merasakan apa yang diperoleh itu hasil usahanya sendiri akan menukar keikhlasan kepada berpura-pura.

Muslim sejati sentiasa menyimpan hasrat untuk menghulurkan sumbangan yang besar kepada kejayaan ummah. Apa yang dilakukan semata-mata ikhlas, bukan mencari nama, pengiktirafan atau kepentingan peribadi. 

Orang yang niat ikhlas melakukan kebaikan menetapkan setiap gerak geri dan tutur kata sebagai satu sedekah. Apa yang dilakukan atau diperkatakan tidak sia-sia. Segala-gala yang dilakukan adalah yang terbaik dan diharapkan diterima seperti mana ibadat-ibadat dilakukan oleh para nabi. 

Setiap usaha yang dilakukan atas dasar ikhlas menimbulkan kekuatan rohani dan jasmani. Keikhlasan dan semangat juang yang kental membawa kepada kejayaan dalam semua usaha yang dilakukan.

No comments:

Post a Comment