Friday, 21 June 2019

SEMPURNAKAN SEMBAHYANG BIAR DALAM KEADAAN APA SEKALIPUN

Sembahyang merupakan ibadah yang penting, istimewa dan unik. Sembahyang dapat menghubungkan insan dengan penciptanya secara langsung.

Sembahyang juga merupakan ibadah yang pertama disyariatkan dan yang paling akhir ditinggalkan oleh manusia. Dari segi amalan ibadah sembahyang dipenuhi dengan sebutan takbir, tahmid dan zikir.

Sabda Rasulullah SAW bermksud: “Islam didirikan atas lima dasar: Mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan puasa di dalam bulan Ramadan. ” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sembahyang adalah merupakan ibadah yang ringan yang mampu dikerjakan oleh setiap orang. Ringan atau beratnya ibadah sembahyang bergantung kepada keimanan seseorang itu.

Ganjaran sembahyang adalah amat besar sekali. Ibadah ini dapat membantu menyelamatkanmanusia daripada azab akhirat. Ibadah ini juga dapat menghilangkan kegelisahan, mendatangkan ketenteraman, ketenangan dan kebahagiaan.

Keistimewaan, keunikan dan keunggulan sembahyang dapat difikirkan dan dihayati oleh insan yang memahami erti segala ucapan, perbuatan dan segala gerak-geri yang dilakukan ketika melakukan ibadah sembahyang.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sembahyanglah sebagaimana kamu melihat aku sembahyang” (Hadis riwayat Bukhari)

Perlakuan Rasulullah SAW. ketika sembahyang bukan hanya sekadar mementingkan kewajipan lahir seperti berwudhuk, berpakaian suci dan kemas, menghadapkan muka ke arah kiblat tetapi baginda juga mengambil berat tentang sesuatu yang berhubung kait dengan yang batin misalnya memahami dan menghayati erti bacaan, perbuatan dan segala perlakuan sembahyang. Dengan kata lain Rasulullah SAW. melakukan sembahyang dengan kesungguhan lahiriah dan batiniah.

Apabila seseorang mempraktikkan sembahyang cara Rasulullah SAW sudah pasti mereka akan dikurniakan ketenangan dan ketenteraman lahiriah dan batiniah.

Sebaliknya jika mereka cuai mengikuti cara Rasulullah SAW. maka kerugianlah yang akan menimpa mereka sama ada di dunia atau di akhirat. Dengan kata lain, sembahyang yang mereka kerjakan adalah sia-sia dan tidak mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Justeru, tunaikan sembahyang biarpun dalam keadaan apa sekalipun, ketika aman mahupun perang, di masjid atau di mana-mana sahaja.

Sesiapa yang menjaga solat, maka Allah akan menjaganya dalam ususan kehidupannya di dunia dan akhirat. Sembahyang menjadi benteng daripada melakukan perkara yang ditegah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah daripada perbuatan jahat dan keji.” (Surah Al-Ankabut, ayat 45)

Luangkan masa untuk menyempurnakan solat, kerana dengan itu akan mudahlah urusan lain hidup di dunia ini di sempurnakan.  

Firman Allah SWT bermaksud: “Peliharalah semua sembahyang dan sembahyang wusta (sembahyang yang paling baik) dan berdirilah kamu untuk Allah dalam keadaan khusyuk. ” (Surah al-Baqarah, ayat 238)

No comments:

Post a Comment