Wednesday 12 June 2019

AK 17 - GANGGUAN AKIBAT PENGGUNA BERTAMBAH


Masalah bekalan air dihadapi penduduk Kelantan sudah perkara biasa. Banyak tempat berlaku gangguan bekalan air yang dibekalkan oleh Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Kelantan.

Pengguna bekalan air di Kelantan seakan-akan sudah lali dengan masalah tersebut. Ia berlaku sepanjang tahun kerana keupayaan loji rawatan air yang sedia ada tidak mampu untuk menyediakan bekalan air bersih secukupnya kepada rakyat Kelantan.

Keadaan menjadi lebih teruk pada musim perayaan dan cuti sekolah apabila ramai perantau pulang ke Kelantan. Keperluan air meningkat mendadak, sedangkan keupayaan loji pada paras yang sama.

Jadi, satu perkara yang agak pelik apabila pihak kerajaan Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa bekalan air disediakan AKSB akan mencukupi sepanjang musim perayaan.

Satu keadaan yang tidak lojik dan hanya 'menipu' pengguna. Kalau dalam keadaan biasa tidak mampu menyediakan air kepada pengguna, tiba-tiba boleh pula memberi jaminan bekalan cukup pada musim perayaan.

Tidak ada jumlah sebenar perantau pulang berhari raya di Kelantan. Namun, statistik dikeluarkan pihak polis, kira-kira sejuta kenderaan memasuki Kelantan pada musim perayaan.

Jika sejuta kenderaan, tentu sekali sekurang-kurangya sejuta orang perantau pulang berhari raya di Kelantan. Itu jika sebuah kenderaan hanya dengan seorang penumpang atau pemandu sahaja.

Jika dihintung sebuah kenderaan dengan purata tiga orang, maka jumlahnya sudah mencecah tiga juta orang. Jumlah itu adalah lebih sekali ganda berbanding penduduk yang tinggal di Kelantan.

Ini satu statistik yang tidak 'bohong'. Dalam keluarga ambo sahaja, semasa perayaan Aidilfitri 2019, jumlah bilangan adik, ipar dan anak saudara yang balik lebih kurang 60 orang. Jumlah itu, hampir tiga kali ganda bagi jumlah keluarga ambo berbanding yang tinggal di Kelantan.

Kalau begitu besar pertambahan bilangan pengguna air di Kelantan semasa musim perayaan, di mana lojiknya kerajaan Kelantan mengatakan AKSB mampu menyediakan bekalan yang secukupnya.

Pengumuman 'tidak bijak' itu menimbulkan rasa mara pengguna air AKSB apabila beberapa hari sebelum Aidilfitri, gangguan bekalan air mula melanda kebanyakan kawasan di Kelantan.

Kawasan kampung ambo di Padang Bongor (Batu 2 Jalan Pengkalan Chepa) mengalami masalah bekalan air. Kali pertama dalam sejarah 30 tahun menjadi pelanggan AKSB, di rumah mek ambo kena sedut air dari paip AKSB.

Untuk pada masa perayaan tahun-tahun hadapan, pihak kerajaan Kelantan tidak perlulah membuat pengumuman tersebut yang dianggap sesuatu tidak berpijak di bumi nyata.

No comments:

Post a Comment