Sunday, 28 July 2019

NASIHAT SECARA IKHLAS TANPA MALUKAN ORANG


Kita ditugaskan menyeru melakukan kebaikan dan mencegah perkara buruk. Perkara itu dapat dilakukan antara lain dengan cara nasihat.

Nasihat sangat diperlukan dalam kehidupan, sekali gus menjadi asas utama dalam mencipta keharmonian keluarga dan masyarakat. Dengan nasihat, seseorang akan dapat mengetahui apa sebaiknya dilakukan, kekurangan dan bagaimana seharusnya untuk mendepaninya.

Dalam menasihati seseorang, maka kita hendaklah memilih bahasa bersopan santun dan lemah lembut. Dalam hal ini, kebanyakan orang sering kali menggunakan tutur kata tidak tepat dan bernada tinggi sewaktu menegur orang lain.

Akibatnya, ia tentu akan memberi kesan tidak baik. Perlu ditegaskan, menasihati itu berbeza dengan marah meskipun tujuannya adalah sama.

Nasihat dengan menggunakan bahasa kasar, nada tinggi dan tidak bersopan santun, tidak akan mudah diterima oleh orang dinasihati, meskipun kesalahannya itu ternyata salah.

Kesantunan berbahasa dan kearifan sikap akan memberikan kesan sama ada diterima atau tidaknya nasihat itu. Justeru, pemberi nasihat seharusnya bijak memilih bahasa yang tepat.

Dikisahkan seseorang datang menasihati Khalifah al-Makmun dengan suara lantang dan tidak bersopan santun. Khalifah pun menegurnya dengan katanya: “Orang yang lebih baik daripadamu pernah datang memberi peringatan kepada orang yang lebih buruk dariku.”

Sesungguhnya Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS diutuskan Allah SWT kepada Firaun seperti firman-Nya: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taha: 44)

Jika kepada Firaun maha zalim dan angkuh, Allah menyuruh agar berkata dengan lemah lembut, atas alasan apa untuk kita melakukan perbuatan kasar terhadap orang lain ketika menasihati atau menegur perbuatannya.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziah ada menyebut perbezaan antara menasihati dan memalukan. Menurut beliau, menasihati itu berlaku adil dan ihsan kepada orang yang dinasihati, menampakkan kasih sayang kepadanya serta tidak sudi melihat saudaranya melakukan kesalahan.

Niatnya hanya mencari keredaan Allah SWT. Di samping itu, dia berperanan sebagai doktor yang mengetahui punca penyakit dihidapi pesakit, lalu menentukan ubat tepat supaya pesakit tadi lekas sembuh.

Ia berbeza dengan perbuatan memalukan seseorang yang niatnya untuk mengubah sambil menghinanya dan mencela orang yang menerima peringatan itu.

Walaupun celaan dan penghinaan berbentuk nasihat, ia tidak dilakukan dengan penuh adab serta melukakan perasaan orang yang dinasihatinya.

Justeru, antara adab memberi nasihat, hendaklah menasihatinya ketika dalam keadaan sendirian dan tidak dalam keadaan terbuka kepada orang ramai. Ini kerana sesiapa yang menutup kesalahan saudaranya, nescaya Allah SWT akan menutup kekurangannya di dunia dan akhirat.

Oleh itu, Imam Shafie pernah berkata: “Sesiapa menasihati saudaranya secara rahsia, maka dia benar-benar menasihatinya dan memuliakannya, manakala sesiapa menasihatinya secara terang-terangan, maka dia menghina dan memalukannya.”

No comments:

Post a Comment