Istilah
adab dalam kefahaman umum ditakrif sebagai perilaku baik, termasuk kesopanan
dan kesusilaan yang menjadi amalan sehari-hari yang perlu diikuti umat Islam.
Bagaimanapun,
makna sebenarnya sangat besar kerana ketinggian adab ialah cerminan peribadi
individu dengan Islam menekankan pendidikan yang sempurna.
Adab
membawa maksud ketertiban budi mengiktiraf dan memperakui hierarki ilmu
pengetahuan berdasarkan kriteria tahap keluhuran dan keutamaan.
Realiti
dan kebenaran diterangkan sebagai dua perkara saling berkait rapat dengan
kedudukan betul dan sesuai.
Adab
terhadap Tuhan adalah dengan memahami secara tepat akan nama, sifat dan
perbuatan tanpa perlu mengetahui Zat-Nya; tidak menyamakan-Nya dengan yang
lain; mengamalkan agama-Nya dalam cara betul seperti diajar Rasul-Nya;
meninggalkan segala dilarang serta sentiasa mencari petunjuk dan keampunan-Nya.
Juga
adab kepada Tuhan adalah tidak menafikan kewujudan-Nya dengan tuhan yang disembah
penganut agama lain.
Adab
dalam konteks spiritual ialah pengiktirafan dan perakuan kepada darjah
keluhuran kepada kedudukan dunia roh berasaskan ketakwaan dan kepatuhan.
Sementara,
adab terhadap diri sendiri bermula apabila seseorang memperakui sifat dwi-naluri
dalam dirinya - rasional dan haiwan.
Apabila
rasional yang utama mengatasi (sifat) haiwan yang di bawahnya dan menjadikannya
terkawal, barulah seseorang berjaya meletakkan kedua-duanya di tempat
sepatutnya, sekali gus menempatkan diri di kedudukan betul.
Seandainya
gagal, seseorang tidak adil kepada diri sendiri. Apabila adab dirujuk dalam
konteks hubungan manusia, ia bermaksud nilai etika diaplikasi dalam sifat
sosial akan mematuhi ketetapan tertentu berpandukan pendirian seseorang,
keluarga dan masyarakat sekelilingnya.
Pendirian
seseorang tidak ditentukan mengikut kriteria manusia dalam aspek kuasa,
kekayaan dan keturunan, tetapi ilmu pengetahuan, kebijaksanaan serta nilai
ditetapkan al-Quran.
Sekiranya
seseorang menunjukkan sikap rendah diri, kasih sayang, hormat-menghormati,
ambil berat, kebajikan kepada ibu bapa, orang tua, kanak-kanak, jiran tetangga
serta pemimpin komuniti, ia menunjukkan tahu akan kedudukannya sebenar
berpandukan status hubungan bersama mereka.
Adab
terhadap pemimpin adalah dengan berpandangan baik terhadap mereka dan keluarga,
menyokong polisi baik dan menasihati secara ikhlas, tidak menyokong dalam
perkara bertentangan agama, ketidakadilan serta apa yang bertentangan
undang-undang.
Adab
terhadap negara adalah dengan betul-betul memahami sejarah, mempertahankan
integriti serta kedaulatan dan dalam kepentingan lebih besar tidak menindas
atau mengancam orang lain.
Adab
terhadap ilmu akan membawa kepada kaedah pembelajaran betul dan pengalaman
bidang berbeza. Dalam hal ini, hormat terhadap cendekiawan dan guru antara
manifestasi adab terhadap ilmu.
Segala-gala
perkara khususnya agama, intelektual dan moral perlu diletakkan di tempat
sewajarnya. Jika tidak, ia akan mewujudkan ketidakadilan cukup besar,
kacau-bilau dan anarki dalam diri serta masyarakat yang impaknya cukup besar.
No comments:
Post a Comment