Sunday, 28 July 2019

JANGAN SAMPAI ORANG ANGKAT KAKI KERANA KITA

Islam memandang serius isu kebersihan. Bukan sahaja diletakkan sebagai sebahagian daripada iman, kebersihan mencerminkan keperibadian seseorang Muslim tersebut.

Penampilan diri yang bersih dan cantik mencerminkan jiwa dan cara hidup seseorang. Sebab itu aspek kebersihan perlu diutamakan. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan.” - (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah SAW sentiasa mengambil berat soal kebersihan diri. Diriwayatkan Rasulullah SAW tidak pernah tidur malam atau siang hari, kecuali baginda menggosok gigi terlebih dahulu. Baginda juga menggosok gigi sekali lagi apabila bangun daripada tidur. 

Kebersihan diri termasuk menjaga penampilan baik semasa berada di khalayak umum merupakan satu perkara yang amat dituntut dalam agama terutama ketika berurusan dengan orang ramai.

Penampilan selekeh atau tidak terurus bukan sahaja membuatkan individu lain berasa tidak selesa, malah boleh merosakkan imej Islam itu sendiri.

Menyimpan janggut itu sunah Nabi, namun jangan sesekali dibiarkan aset kelakian itu tidak terurus dengan baik. Maka hilanglah seri yang sepatutnya menjadi kebanggaan seorang Muslim.

Begitu juga dengan memotong atau merapikan bulu-bulu pada bahagian anggota badan yang lain. Dalam nas-nas syarak, terdapat beberapa perintah mengarahkan supaya dicukur beberapa jenis bulu yang terdapat pada anggota tubuh manusia.

Rasulullah SAW yang maksudnya: “Fitrah itu ada lima – atau lima perkara yang menjadi fitrah – adalah berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan memotong misai.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwattal menceritakan bahawa Rasulullah SAW amat mengambil berat soal penampilan diri apabila menegur seorang lalaki berkeadaan tidak terurus rambut dan janggutnya. 

Kisahnya, ketika Rasulullah SAW berada di dalam masjid, masuk seorang lelaki dengan janggut yang tidak terurus dan rambut kusut masai. Rasulullah SAW menunjukkan isyarat tangan agar lelaki tersebut memperelokkan janggut dan rambutnya. 

Lalu lelaki tersebut beredar dan seketika kemudian masuk semula ke dalam masjid dalam keadaan janggut dan rambutnya lebih terurus berbanding sebelum itu. Melihat perubahan itu, Rasulullah SAW memuji lelaki itu dan menyatakan keadaan lelaki itu sebelum menguruskan diri diumpamakan seperti syaitan.

Sehubungan itu, umat Islam disarankan menitik beratkan aspek kebersihan diri. Jangan sampai orang sebelah sakit mata melihat penampilan kita yang tidak terurus, atau lebih parah mereka terpaksa angkat kaki hanya kerana tidak senang dengan penampilan kita.

No comments:

Post a Comment