Dahulu jajahan (daerah) Bachok menjadi
kawasan penanaman utama tembakau di Kelantan, bahkan juga di Malaysia.
Penanaman tembakau di Bachok sesuai kerana kawasan tanah beris atau berpasir
hitam.
Penanaman tembakau di Bachok berkembang
dengan pesat sekitar 1980 yang membawa rahmat besar kepada penduduknya.
Pulangan dari hasi tanaman tembakau dikira agak lumayan berbanding dengan
tanaman lain.
Tanaman tembakau di Bachok telah mengubah
landskap kehidupan penduduk Bachok yang sebelum itu rata-rata nelayan pantai
yang rata-rata dikategorikan sebagai miskin.
Namun, limpahan rezeki dari tanaman tembakau
membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih baik, termasuk membina rumah-rumah
baru yang lebih selesa dari sebelumnya.
Selain, menjadi petani menanam tembakau, ada
juga yang lebih kehadapan menjadi pengusaha pengawet tembakau. Modalnya besar,
tetapi untungnya juga besar.
Banyak rumah atau ban tembakau dibina di sekitar
kawasan Bachok. Sekaligus, ramai jugalah pekerja diperlukan untuk melakukan proses
kerja-kerja mengawet atau mengeringkan daun tembakau.
Dengan kata lain, industri penanaman tembakau
memberi kesan yang amat besar dari segi ekonomi kepada penduduk di Bachok.
Namun, segalanya itu kini hanya tinggal sejarah.
Sekitar tahun 2000 telah berlaku pengurangan aktiviti penanaman tembakau di Bachok
selaras dengan usaha kerajaan ingin menggantikan tanaman tembakau dengan tanaman
lain, khususnya kenaf.
Sejak dari itu, kawasan penanaman tembakau semakin dikecilkan. Hanya sebahagian petani masih mengusahakan tanaman tembakau berdasarkan 'kebenaran' yang diberikan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.
Kawasan yang dahulunya diusahakan tenaman tembakau
kini dibiarkan terbiar. Kenaf yang diharapkan dapat menggantikan tembakau tidak
mendapat sambutan petani.
Kalaupun masih ada petani ingin mengusahakan tanaman
di tapak tanah itu, mereka lebih suka memilih untuk menanam tanaman kontan lain
seperti labu, tembikai, keledek dan menjadikan ia kawasan padang ragut haiwan ternakan.
No comments:
Post a Comment