Monday 30 September 2019

JANGAN CAMPURI URUSAN AGAMA LAIN

Islam sebagai agama Rahmatan Lil Alamin (rahmat kepada seluruh alam), tidak ada masalah dengan isu bangsa atau agama. Islam telah menjelaskan secara terbaik perlu difahami umat Islam untuk berurusan sesama saudara seagama serta yang bukan Islam.

Islam sejak awal sudah membuat penegasan mengenai hubungan dengan penganut agama lain. Firman Allah SWT: “Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku.” (Al-Kafirun: 6)

Justeru, perihal agama tidak boleh ada tawar-menawar kerana umat Islam mengakui dan meyakininya sebagai agama benar tetapi menerima hakikat pemberian hidayah dan kesesatan itu milik Allah SWT.

Persoalan sekarang, bagaimana untuk hidup dalam negara yang bukan sahaja berbilang kaum, bahkan berlainan agama.

Kita perlu menghayati apa ditekankan ulama mengenai hubungan sesama Muslim dan hubungan dengan bukan Islam.

Ajaran Islam menetapkan umat Islam menjalinkan hubungan dan mengiktiraf kewujudan bersama dengan mengamalkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi serta pengurusan.

Kita boleh bekerjasama, bertolak ansur dan berbincang mengenai pembangunan ekonomi seperti kita lakukan sebagai rakyat berbilang bangsa serta agama.

Namun dalam perkara berkaitan agama, orang Islam tidak boleh campur tangan dalam urusan agama lain dan begitulah sebaliknya. Setiap penganut perlu menghormati prinsip dan dasar dalam hidup bersama. 

No comments:

Post a Comment