Pasir
Puteh salah satu jajahan di Kelantan. Ianya bersempadan dengan jajahan Kota
Bharu di sebelah Utara, jajahan Machang di sebelah Barat, jajahan Bachok di
sebelah Timur Laut dan di sebelah Selatan bersempadan dengan Daerah Besut,
negeri Terengganu.
Pada
asalnya Pasir Puteh dikenali sebagai Pengkalan Limbungan. Nama ini
ditukar selepas lawatan Sultan Muhammad Ke-4 ke kawasan ini. Baginda melihat kawasan gemerlapan dengan pasir putih memutih
di sepanjang tebing Sungai Semerak. Pada 1911, Baginda telah
merasmikan nama Pasir Puteh sebagai sebuah jajahan.
Pasir
Puteh amat sinonim dengan nama pahlawan terbilang Kelantan iaitu Tok Janggut
yang berasal dari jajahan tersebut.
Jajahan
Pasir Puteh wujud sejak tahun 1905 dengan keluasan 433.8 kilometer persegi (167.2 batu
persegi).
Topografi jajahan Pasir Puteh boleh dibahagikan kepada dua keadaan
yang besar iaitu keadaan tanah yang berbukit-bukit dan tanah rendah.
Terdapat
beberapa buah bukit di jajahan ini iaitu Bukit Mak Lipah, Bukit Jerus, Bukit
Bayoh, Bukit Belakang Parang, Bukit Batu Kawi, dan Bukit Peraksi.
Bukit Mak Lipah adalah merupakan bukit yang paling tinggi iaitu 269 meter yang terletak berhampiran dengan sempadan Daerah Bachok
di sebelah Utara.
Pasir
Puteh merupakan sebuah bandar yang wujud di antara dua buah sungai iaitu Sungai
Rasau dan Sungai Semerak.
Pada masa dahulu, sungai menjadi jalan pengangkutan utama. Sungai juga menjadi tempat hidupan air tawar seperti ikan, ketam dan udang yang dijadikan sumber makanan. Air sungai juga digunakan untuk tujuan pertanian. Jadi, kawasan tebingan sungai menjadi kawasan penempatan pilihan terbaik.
Dari segi pembangunan, Pasir Putih semakin terkenal apabila Tok Bali yang
terletak di dalam jajahan tersebut menjadi destinasi pelancongan dan pengkalan
kepada pelbagai aktiviti berkaitan perkapalan. Tok Bali bakal menjadi pelabuhan utama di Pantai Timur pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment