Wednesday, 30 August 2017

Jalur Gemilang lambang aspirasi

Bendera negara berkibar dengan penuh penghormatan sejak 1950. Namun, hanya pada 1995 barulah ada satu inisiatif untuk memberi nama khas atau nama rasmi kepadanya. Ilham itu dicetuskan bekas pegawai kerajaan, Datuk Hashim Mat Dris.

Menurut pendapatnya pada masa itu, selepas 45 tahun berkibar dengan megah, tetapi tanpa satu nama boleh dibanggakan.

Justeru, sudah tiba masanya bendera Malaysia diberi satu nama rasmi seperti dimiliki bendera negara tertentu seperti Indonesia yang digelar ‘Sang Saka Merah Putih’, United Kingdom dinamakan ‘Union Jack’, Amerika Syarikat (Star Spangled Banner) dan bendera Perancis (Tricolor).

Hashim ketika mengemukakan ilham itu kepada Jabatan Perdana Menteri, berpendapat nama yang sesuai untuk bendera negara ialah ‘Si Tuah’ sempena nama hulubalang Melayu Hang Tuah yang berani, gagah perkasa dan setia kepada Raja.

Nama ‘Si Tuah’ juga melambangkan tuah sebuah negara dikurniakan Tuhan dengan kehidupan aman makmur dengan pemimpin bijaksana yang memerintah dengan adil dan saksama.

Cadangan Hashim itu kemudian dibawa kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada 11 Julai 1995, Dr Mahathir bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi memilih nama sesuai untuk bendera Malaysia.

Penyertaan bagi peraduan terbabit dihadkan kepada pihak tertentu saja iaitu kementerian dan jabatan kerajaan. Berikutan itu, Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia ditubuhkan.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara masa itu, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid.  

Pada mesyuarat 1 April 1996, jawatankuasa itu bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama bendera Malaysia tidak perlu dibuat menerusi peraduan, tetapi memadai dipilih daripada senarai nama dikemukakan oleh ahli jawatankuasa.

Ini turut dipersetujui Dr Mahathir. Berikutan itu, nama jawatankuasa ditukar kepada Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia. Jawatankuasa itu menimbang sebanyak 75 cadangan nama.

Selepas penelitian dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’.

Cadangan nama itu dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.

Bagaimanapun, apabila dikemukakan untuk mendapat persetujuan Kabinet pada 11 September 1996, nama itu gagal memikat hati Jemaah Menteri.  

Jemaah Menteri kemudian meminta supaya cadangan baru dikemukakan. Berikutan keputusan Jemaah Menteri itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama baru.

Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Halim Ali, sebanyak 28 cadangan nama dipertimbangkan.

Selepas membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih tiga nama mengikut keutamaan iaitu ‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa Gemilang’, dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.

Ahli mesyuarat sepakat memilih tiga nama itu kerana ia didapati mempunyai ciri emotif yang boleh menggerakkan semangat patriotisme rakyat serta kesetiaan kepada negara, rangkai katanya adalah asli dan menggunakan bahasa kebangsaan yang ringkas, menarik dan mudah dijelaskan maksudnya.

Apabila ketiga-tiga cadangan nama itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Julai 1997, Jemaah Menteri bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama ‘Jalur Gemilang’.

Perisytiharan ‘Jalur Gemilang’ sebagai nama bendera Malaysia dibuat Dr Mahathir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ketika upacara Di Ambang Merdeka sempena Perayaan Hari Kebangsaan pada 30 Ogos 1997, jam 11.58 malam.

Nama itu dicadangkan Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (sekarang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).

Secara ringkasnya, perkataan ‘Jalur’ dalam nama ‘Jalur Gemilang’ melambangkan jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju serta arah sama diikuti oleh rakyat negara ini, manakala ‘Gemilang’ melambangkan keadaan bercahaya, terang benderang dan cemerlang.

Oleh itu, ‘Jalur Gemilang’ adalah lambang aspirasi rakyat Malaysia dalam mengharungi kemajuan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi membina sebuah negara cemerlang, gemilang dan terbilang.

Itulah sejarah bermulanya Jalur Gemilang yang menjadi lambang kemegahan negara. Bendera tidak sekadar sehelai kain yang diwarnakan, tetapi menjadi lambang yang menunjukkan kedaulatana sesebuah negeri atau negara. 

Pujangga berkata: "bendera adalah suatu perkara mudah iaitu tidak lebih daripada secebis kain berwarna. Namun, kerananya manusia sanggup bermati-matian."

No comments:

Post a Comment