Saturday, 30 September 2017

Syarat sah jual beli

Terdapat syarat jual beli yang perlu dipatuhi agar menepati syarak. Jual beli ditakrifkan sebagai "pertukaran sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan kekal (al-Khin, et al, 2004).

Jual beli termasuk perkara dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud: "Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah, ayat 275).

Tegas di sini, pertukaran harta antara pihak berakad perlu berlaku dalam jual beli untuk tujuan pemilikan. Jika tidak berlaku pertukaran harta, maka tidak dianggap satu jual beli. Harta itu dalam bentuk berbeza dan mempunyai kepentingan berbeza. Harta itu perlu memenuhi maksud harta berdasarkan syarak.

Pertukaran wang dengan wang, walaupun dalam bentuk dominasi berbeza, contohnya A menyerah note RM10 kepada B, dan B membalasnya dengan 10 keping note RM1, ia bukan satu bentuk jual beli. Ini kerana ia barang yang sama dan melibatkan nilai yang sama. 

Dalam urusniaga melibatkan pertukaran dua barang berbeza jenis, ia dianggapkan pertukaran dua harta kerana mempunyai 'nilai' berbeza dan manfaat juga berbeza. Sebiji kelapa ditukar dengan sekilo gula boleh dianggap satu jual beli yang sah. Jual beli jenis ini dikenali perniagaan batter, yakni barang ditukar dengan barang.

Syarat lain berkaitan dengan penjual dan pembeli, yang mana kedua-duanya adalah baligh, berakal dan boleh menguruskan harta dengan baik. Jual beli melibatkan orang gila tidak sah, sama ada sebagai penjual atau pembeli. 

Perkara ini bagi mengelak berlaku penipuan dalam jual beli yang boleh menimbulkan kerugian bagi pihak yang tidak berakal dan tidak mampu mengurusakan harta itu. Mereka bukan saja mungkin ditipu dari segi harga, bahkan mungkin membeli sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat, malah mendatangkan bahaya.

Pihak berkenaan juga bebas melakukan pilihan semasa berakad. Tidak ada paksaan atau wajib dilakukan. Jual beli dengan paksaan tidak sah. Contohnya, jika penjual tidak mahu menjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya, walaupun dibayar dengan harga yang lebih mahal. 

Memandangkan pertukaran itu melibatkan dua pihak, maka penjual dan pembeli mestilah orang berlainan. Mereka mempunyai kepentingan dan kehendak berlainan atas tujuan pertukaran itu. Pembeli ingin memperoleh barang dijual itu, sedangkan penjual ingin mendapat balasan dalam bentuk wang atau sesuatu nilai tukaran yang dipersetujui bersama.

Satu lagi syarat melibatkan penjual dan pembeli yang perlu dipenuhi ialah boleh melihat. Ini bagi memastikan penjual atau pembeli mengetahui dengan jelas apa yang dijual atau dibeli. Maka orang buta tidak boleh melakukan urusan jual beli. Ini mengelak daripada berlaku penipuan dan penganiayaan terhadap orang buta.

Syarat jual beli seterusnya ialah adanya ijab dan qabul sebagai syarat sah. Ijab dan qabul itu mestilah dinyatakan dengan jelas, ada persamaan antara ijab dan qabul dan tiada pemisah. Perkataan akad itu hendaklah bersifat kekal dan pemilikan mutlak. Tidak dianggap akad jual beli jika dikatakan pemilikan terhadap barang dijual itu hanya untuk tempoh tertentu atau hanya untuk kegunaan tertentu sahaja. Contoh, sebuah kereta yang dijual kepada pembeli hanya untuk sehari adalah tidak sah. Ia lebih memenuhi kaedah sewaan.  

Syarat lain dalam jual beli adalah berkaitan dengan barang jualan itu. Barang yang hendak dijual beli mesti wujud. Tanpa kewujudan barang jualan, maka tidak mungkin berlaku jual beli. Jadi tidak sah jual beli bagi buah-buahan di pokok yang baru berbunga, kerana buahnya belum wujud dan belum boleh digunakan.

Syarat lain ialah barang itu boleh diserahkan dan diketahui tentangnya oleh pihak berakad. Contohnya, jika urusniaga itu melibatkan kereta, maka sepenjual dan pembeli mengetahui apa itu kereta, kegunaannya serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan sebuah kereta.

Barang itu ada nilai dan manfaat kepada pembeli. Nasi basi tidak sah untuk dijual beli kerana ia tidak boleh dimakan dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada pembeli. Tetapi, jika pembeli membeli nasi basi itu atas tujuan untuk dijadikan makanan kepada haiwan ternakannya, maka wujud manfaat di situ, dan jual beli itu sah.

Syarat barang terakhir adalah ia berada di bawah kuasa penjual. Di bawah kuasa pembeli bermakan dia boleh menentukan apa boleh dilakukan terhadap barang itu. Kereta yang masih dalam sewa beli tidak boleh dijual, kerana kuasa atau hak terhadap kereta itu masih di bawah institusi kewangan, walaupun pada daftar pemilikan dinyatakan atas nama seseorang.       

Aktiviti perniagaan membentuk hubungan paling penting sesama manusia. Tidak ada hari tanpa wujud perniagaan. Perniagaan wujud sejak manusia hidup secara bermasyarakat. Ini kerana keperluan manusia berbeza-beza atau banyak, sedangkan kemampuan menghasil sendiri amat terhad. Petani menghasilkan hasil pertanian memelukan ikan yang ditangkap oleh nelayan, sedangkan nelayan pula ingin hasil pertanian. Maka, mereka boleh melakukan pertukaran barang.

Apabila wujud sistem matawang, maka pertukaran itu dilakukan menggunakan matawang. Ia memudahkan urusan jual beli dan mempelbagaikan hasil barang yang boleh diniagakan.

Memandangkan betapa penting aktiviti perniagaan, maka terdapat lebih 500 buah hadis daripada Rasulullah SAW membincangkan atau memperkatakan mengenai perniagaan. Dalam al-Quran juga tidak terkuali menyebut mengenai perniagaan agar ia berlaku secara adil dan mengelak berlaku penindasan.

Justeru, perkara penting ini perlu diperhalusi secara jelas agar tidak berlaku kecelakuan atau menimbulkan suasana tidak baik dalam urusan jual beli. Sesungguhnya, Islam tidak memisahkan kehidupan seharian dengan panduan agama. 

Apabila ada sesuatu amalan baru dalam urusan kehidupan seharian, termasuk berkaitan jual beli, maka para faquha akan mengkajinya agar tidak bertentangan dengan syarak. Maka, satu garis panduan dibuat agar dipatuhi penganut Islam.  

Begitulah dalam urusan jualan atas talian yang semakin berkembang sekarang. Umat Islam tidak seharusnya hanya menjadi pengguna, tetapi perlu juga mengambil kesempatan menjadi penjual melalui atas talian yang menjanjikan pulangan yang lumayan dan mudah. 

Agama bukan sekadar dalam urusan ibadat khusus semata-mata. Bahkan urusan di luar ibadat khusus lebih besar kesannya dalam kehidupan seharian. Sebab itu, dalam urusan jual beli perlu mematuhi rukun, syarat dan perkara lain yang membezakan antara Islam dan bukan Islam. 

Peraturan itu bukan menyusahkan atau menghalang kebebasan, tetapi satu pemangkin menjadikan jual beli lebih tersusun, selamat dan menjaga kepentingan pihak-pihak terlibat. 

No comments:

Post a Comment