Saturday, 7 October 2017

Tugas pemimpin negara Islam

Tugas pemimpin melaksanakan tanggungjawab amat berat. Al-Mawardi dalam buku al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan antara tanggungjawab kerajaan Islam ialah menjaga kepentingan agama dan mentadbir urusan negara dan umat. Antara tugas yang perlu dilaksanakan ialah:

Melaksanakan Syariat.

Tanggungjawab utama pemimpin ialah menegakkan dan melaksanakan syariat Allah SWT di muka bumi dan menghapuskan segala bentuk kemungkaran. Syariat adalah prinsip hukum diturunkan oleh Allah SWT yang lengkap sebagai panduan hidup. Ia bersifat sempurna dan bebas daripada kezaliman serta kekurangan yang biasa wujud dalam hukum yang dibuat oleh manusia. Sesungguhnya Allah SWT mengetahui apa yang baik untuk manusia dalam mengatur kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini.

Selain perlu melaksanakan ibadat khusus yang terikat dengan peraturan syarat sahnya, banyak lagi urusan hidup di dunia ini yang wajib dipatuhi. Pemimpin perlu memastikan perjalanan hukum dilaksana secara adil di kalangan rakyat tanpa mengira kedudukan dan hubungan persaudaraan. 

Perkara ini ditegaskan Rasulullah SAW apabila diminta mengampunkan seorang wanita yang mencuri. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Demi Allah, kalau Fatimah mencuri, nescaya aku potong tangannya.”

Untuk memastikan syariat tertegak di negara Islam, sebarang bentuk penyelewengan hukum perlu dihalang. Fahaman salah dan tidak mahu mematuhi peraturan mesti diperbetulkan. Banyak punca masalah ialah disebabkan kerana kejahilan mengenai hukum. Maka itu, kerajaan perlu menberitahu mengenai sesuatu hukum yang perlu dipatuhi agar dapat mengelak berlaku kekeliruan.

Hukum tetap yang termaktub dalam Islam perlu disebarluaskan untuk difahami rakyat. Manakala hukum baru berkaitan pentadbiran negara perlu diwarta dan disebarkan melalui media masa untuk pengetahuan rakyat.

Mengawal Syariat.

Satu lagi tanggungjawab kerajaan ialah mengawal syariat. Perkara ini dilakukan dengan melaksanakan beberapa keperluan seperti:

Satu jemaah menteri perlu dibentuk untuk mengagihkan tanggungjawab kepimpinan yang tidak mampu dilaksanakan seorang pemimpin saja. Setiap menteri menjaga urusan tertentu untuk kepentingan rakyat dan negara. Menteri berkenaan dapat memberi tumpuan kepada tugas berkenaan untuk mencapai tahap terbaik.  

Kerajaan perlu mewujudkan sisterm kehakiman bagi menegakkan hukum, menyelesaikan pertikaian dan menegakkan keadilan. Hakim yang adil memutuskan berdasarkan kepada hukum yang ditetapkan tanpa berat sebelah. Ini bagi memastikan pematuhan terhadap hukum berjalan lancar dan memberi kebaikan kepada semua. Semua rakyat diadili tanpa mengira kedudukan. Hukuman yang sama dikenakan terhadap pesalah biarpun mereka dari kalangan pemimpin atau ahli keluarga sendiri.

Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital, mahkamah, pejabat dan keperluan lain untuk melancarkan pentadbiran negara dan manfaat kepada rakyat. 

Perkara lain ialah mewujudkan sistem eknomi yang manpan, sisterm pertahanan, melakukan kawalan keselamatan dan sebagainya. Keperluan ini perlu disediakan memandangkan sistem pemerintahan satu perkara yang kompleks dan rumit.  Segala keperluan itu akan melancarkan perjalanan pentadbiran negara dan rakyat dapat hidup dengan aman dan sempurna. 

Namun perlu diingatkan, perkara itu perlu dilaksanakan secara bersama dengan rakyat. Rakyat yang menjadi sebahagian kekuatan kepimpinan perlu melakukan yang terbaik untuk menyumbang kepada negara. Kata bijak pandai; banyakkan memberi, kurang meminta. Jangan tanya apa yang negara sumbang kepada kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu sumbang kepada negara. Sesungguhnya, negara kita adalah tanggungjawab kita.

Sesungguhnya keinginan melaksanakan dan mengawal syariat itu penting dalam sebuah negara Islam sepertimana diungkapkan oleh Fazlur Rahman seperti berikut: “Negara Islam ialah negara yang didirikan atau dihuni oleh umat Islam dalam rangka memenuhi keinginan mereka untuk melaksanakan perintah Allah melalui wahyu-Nya. Pemerintahan negara tidak ditentukan secara khusus, tetapi yang paling penting yang harus dimiliki ialah syura.”

Melaksanakan keadilan. 

Keadilan merangkumi segala aspek kehidupan. Keadilan bukan bermaksud dalam hal undang-undang semata-mata. Sebaliknya, adil boleh ditakrifkan sebagai melaksanakan sesuatu perkara kena pada tempat, menyerahkan hak kepada yang berhak, melaksanakan mengikut undang-undang dan keperluan serta memberikan kesan baik serta menjauhkan keburukan. 

Sekiranya ia berkaitan dengan perselisihan pendapat, maka ia perlu dirungkai dengan baik dan masing-masing menerima dengan hati yang lapang. Hal ini penting diamalkan terutama di negara yang berbilang agama dan kaum seperti di negara kita. Isu agama dan kaum satu perkara yang amat sensitif. Oleh itu, sebarang pertikaian kepentingan perlu diputuskan dengan adil. Perlaksanaan keadilan penting bagi menjamin keamanan negara. 

Fahamilah firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan kepada kaum kerabat, melarang (kamu) daripada pebuatan keji, kemungkaran dan permusuhan.  Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pengajaran.” (Al-Nahl: 90).

Amat jelas sekali pentingnya keadilan ditegakkan walupun melibatkan kepentingan pemimpin sendiri. Kerajaan Islam yang adil melaksanakan segala dasar kerajaan dengan adil. Keadilan tidak dapat ditegakkan jika ada perasaan pentingkan diri sendiri, keluarga dan kelompok tertentu saja.   

Menurut Hasan al-Banna, kerajaan Islam adalah kerajaan di mana para pemimpinnya menunaikan kewajipan Islam, tidak melakukan maksiat, dan mereka menjadi pelaksanan hukum hakam Islam dan pengajaran dalam dirinya.

Dengan kata lain, pemimpin yang adil perlu melaksanakan keadilan biarpun melibatkan dirinya sendiri. Sekiranya dia perlu dihukum atas sesuatu kesalahan, maka hukuman itu perlu dilaksanakan ke atasnya. Hukuman itu diputuskan oleh pihak lain untuk memastikan keadailan.

Sebab itu, dalam sistem bernegara perlu dipisahkan di antara pemimpin, badan kehakiman dan pembuat dasar seperti mana diamalkan di Malaysia. Sebab itu, ada pemimpin yang dikenakan hukuman apabila dihadapkan ke muka pengadilan yang dilaksanakan oleh badan kehakiman  bebas.

No comments:

Post a Comment